Malaysia Dateline

Steven kini dibantu tokoh korporat, bertukar pengalaman dengan MP Muar

Kerana usaha dan kerja kuat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim membantu orang ramai, kini seorang tokoh korporat Datuk Kalimullah Hassan pula bersama beliau bagi membolehkan lebih banyak bantuan diberikan.

Walaupun diperlekeh oleh seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) kerana usahanya itu, Steven sangat merasa teruja di atas sokongan bekas pemimpin kanan kumpulan media NST ketika Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri itu.

“Semalam saya mendapat panggilan daripada seorang tokoh korporat terkemuka negara yang menyatakan hasrat untuk bersama-sama membantu keluarga susah di Bukit Mertajam.

“Saya begitu terharu apabila beliau berkata akan memberi dana kepada program kebajikan saya.

“Saya ucapkan terima kasih yang teramat sangat kepada Datuk Seri Kalimullah Hassan atas kemurahan hati beliau. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasanya.
Kasih sayang tidak mengenal warna kulit, agama dan fahaman politik.

“Yang dibantu ada Melayu, Cina dan India. Yang membantu ada Melayu, Cina dan India. Dan sudah tentu ada saudara saudari kita dari Sabah dan Sarawak,” tulis Steven menerusi Facebook beliau.

Dalam pada itu, Steven juga bertukar-tukar fikiran dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman yang banyak memberikan laptop kepada pelajar yang memerlukan alat bantuan pembelajaran itu.

“Saya berjumpa dengan Bro Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertukar pandangan tentang program-program bantuan kami di Bukit Mertajam dan Muar.

“Terharu mendengar Saddiq bercakap tentang program laptop dan bantuan lain di kawasannya. Peruntukan kami sebagai Ahli Parlimen telah dipotong, tapi kami jalan terus sahaja. Bukan kerana kami hebat tapi sekadar menjalankan tanggungjawab,” kata Steven.