Steven Sim bantu peniaga langsaikan hutang rumah sewa yang tertunggak 6 bulan, bertekad bantu kewangan rakyat

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim tetap mengutamakan rakyat di Parlimennya walaupun dalam kesibukan memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Kelibat beliau dilihat berada di kawasan Parlimennya sejurus selepas menerima mesej mengatakan seorang peniaga yang dikenali sebagai Uncle Chan sangat memerlukan pertolongan kewangan kerana sudah enam bulan tidak mampu membayar rumah sewa yang didiaminya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Steven memberitahu perniagaan Uncle Chan semakin merosot sejak dua hingga tiga tahun yang lalu disebabkan tiada pelanggan yang datang ke gerai.

Bahkan Uncle Chan tidak menerima banyak ‘order’ dari pelanggan menyebabkan dia makin sukar untuk menampung beban hutang, ditambah mempunyai tanggungan 3 anak kecil yang masih bersekolah rendah.

“Uncle Chan berumur 57, anak kecil 3 orang semua masih sekolah rendah. Walaupun kena cuci buah pinggang 3 kali seminggu, Uncle tetap rajin bekerja jual wantan mee, membanting tulang 7 pagi sampai 7 malam demi sesuap nasi untuk keluarga tersayang.

“Malangnya, bisnes kurang baik. Kadang kala order tak sampai 10 pinggan dalam sehari.

“Hari ini saya balik Bukit Mertajam, jumpa ibu dapat restu, sebelum masuk ke pejabat MOF di Putrajaya besok. Jadi saya ambil kesempatan melawat Uncle Chan di gerainya.

“Uncle bagitau saya, dia sangat derita, ada penyakit buah pinggang, hutang sewa rumah 6 bulan, kemudian bisnes pula amat teruk dalam 2-3 tahun ini. Dia amat bimbang tentang masa depan anak-anaknya,” luah Steven di Facebook.

Dalam pada itu, Steven memaklumkan telah menyelesaikan kesemua bayaran tertunggak sewa rumah lelaki terbabit, selain menghulurkan bantuan kewangan untuk perbelanjaan harian dan bantuan persekolahan anak-anak peniaga berkenaan.

Beliau juga memberi jaminan menyelesaikan masalah Uncle Chan dengan mencarikannya tempat berniaga yang lebih baik dari lokasi ketika ini.

“Saya bagitahu Uncle Chan jangan bimbang. Hutang sewa rumah 6 bulan tu, saya tolong langsaikan. Kemudian, saya bagi dia wang tunai RM1000 untuk menanggung belanja harian. Buat belanja sekolah anak-anak kecil.

“Uncle kata bisnes dia kurang baik di tempat sedia ada. Saya akan tolong carikan tempat yang lebih pesat sikit untuk dia buka gerai. Uncle rajin nak kerja walaupun menanggung sakit di badan, saya akan bantu sedaya upaya saya,” katanya.

Steven bertekad, dalam peranan barunya sebagai Timbalan Menteri Kewangan, beliau akan membantu membangunkan ekonomi dan membela kepentingan rakyat agar orang-orang seperti Uncle Chan akan mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Baca juga: PM Anwar mahu buktikan ada Melayu yang guna kuasa bela nasib rakyat

Baca juga: ‘Saya minta mereka dipecat serta-merta’ – Anwar ulangi tiada tolak ansur kalau menteri rasuah