Malaysia Dateline

Steven Sim ‘buka mulut’ berhubung kenyataan DAP patut diharamkan

Selepas Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan DAP patut diharamkan, kini Ahli Parlimen Bukit Mertajam daripada DAP, Steven Sim pula membuka mulut.

Menurut Steven, beliau sudah menjelaskan isu ‘Kingdom of God’ sebelum ini, iaitu ucapannya dibuat di dalam gereja untuk orang Kristian menjadi warganegara yang baik, tanpa menyentuh agama lain dan ia merupakan hak kebebasan agama rakyat di negara ini.

“Adakah Pas ingin menghapuskan kebebasan agama orang bukan Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

“Berkaitan isu Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) Sri Lanka pula, pertamanya, tiada pemimpin mahu pun ahli DAP yang disabit bersalah terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan termasuk melalui LTTE.

“Keduanya, berdasarkan prinsip yang sama dengan tuduhan tidak berasas terhadap DAP dalam isu LTTE, adakah Tuan Ibrahim juga akan melabelkan Najib Razak sebagai penyokong LTTE dan turut mengharamkan parti Umno serta MIC?

“Pada tahun 2012, Najib Razak melalui MIC pernah menghulurkan sumbangan berjuta-juta ringgit kepada warga Tamil di Sri Lanka yang menjadi mangsa perang saudara di sana,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Steven yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menjelaskan isu berkaitan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ didakwa sebagai mempromosikan komunisme.

“Saya berharap Tuan Ibrahim melihat kepada rakan kongsinya Umno yang kerap kali mengadakan perjumpaan tertutup dengan Parti Komunis China (CPC) malah wakil Umno pernah berucap sempena Kongres CPC pada tahun 2017.

“Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor mewakili parti tersebut berkata, Malaysia sangat bersetuju dengan konsep urus tadbir baru, pemikiran dan strategi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dengan Setiausaha Agung Xi Jinping di pusatnya, dan percaya bahawa Xi akan memimpin China ke arah pencapaian yang lebih hebat dan sumbangan yang lebih banyak kepada pembangunan dunia.

“Adakah ini bermakna kerajaan Malaysia pada tahun 2017 dan Umno secara khususnya, bersetuju dan telah mempromosikan komunisme?,” soal beliau kepada Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Hari ini Tuan Ibrahim menyifatkan agenda DAP semakin merbahaya kepada politik negara berikutan tiga bukti kontroversi yang tercetus baru-baru ini.

Tiga bukti kontroversi itu adalah pertama, ucapan Steven Sim di dalam gereja, kedua berkaitan isu Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) Sri Lanka dan bukti ketiga mengenai komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, isu-isu terbabit yang telah ditimbulkan oleh pihak DAP membawa kepada kewajaran agar parti berkenaan diharamkan.