Malaysia Dateline

Steven Sim dilantik Penyelaras Covid-19 Pulau Pinang

Pelantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebagai penyelaras Covid-19 antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan kerajaan pusat adalah suatu tindakan pro-aktif dan perlu diberi dokongan oleh semua pihak.

Timbalan Pengerusi, Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohamed Nor, berkata pelantikan itu mempunyai banyak manfaatnya kepada penduduk di negeri itu.

“Selain daripada mencari alternatif bagi memaksimumkan warga Pulau Pinang divaksinasi, ia juga boleh mempercepat proses bagi menyelesaikan pelbagai kekurangan yang wujud sebelum ini.

“Beliau (Steven) boleh menggunakan portfolio itu bagi mendapatkan keperluan seperti bekalan vaksin dengan kadar segera dan memastikan bekalan tersebut mencukupi di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada dalam negeri ini,” jelasnya ketika dihubungi.

Abdullah Mohamed Nor

Sementara itu Adun Kulim, KC Yeo berpendapat pelantikan tersebut adalah suatu kepercayaan yang telah diamanahkan dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya optimis, Ahli Parlimen Bukit Mertajam tersebut, mempunyai keupayaan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Steven Sim boleh menggunakan peluang yang diberikan ini bagi meningkatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Selepas ini beliau boleh menangani segala kesulitan terutama melibatkan bekalan vaksin, PPV dan juga vaksinasi dalam kalangan pekerja industri khususnya warga asing di Pulau Pinang,” ujar beliau.

KC Yeo

Semalam, Khairy mengumumkan Steven Sim dilantik sebagai penyelaras pengurusan Covid-19 bagi negeri Pulau Pinang dan kerajaan pusat bagi memudahkan perhubungan antara kedua-dua pihak.

Steven pula dalam kenyataan beliau menyahut baik pelantikan tersebut dan menggariskan enam tumpuan yang menjadi keutamaannya.

Fokus tersebut, jelasnya, ialah menambah kapasiti sistem penjagaan kesihatan, memastikan kestabilan bekalan vaksin, mengurangkan kadar jangkitan dan kematian, memastikan laporan harian Covid-19 lebih telus bagi negeri Pulau Pinang, menilai risiko dan penguatkuasaan yang lebih cekap khususnys melibatkan kilang-kilang serta juga mengurangkan masa respons talian hotline untuk khidmat kesihatan bagi pesakit.

Setakat semalam, Pulau Pinang mencatatkan jumlah keseluruhan 109,505 kes Covid-19 dengan purata harian 1,830 kes sejak seminggu lalu.