Malaysia Dateline

Steven tegur Pas isu Timah: ‘Anda tanam kebencian, dapatlah kebencian’

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim memulangkan paku buah keras kepada Pas yang mendakwa isu kontroversi berhubung pengeluaran arak Timah merupakan langkah terdesak untuk menyerang Pas.

Steven membalas, siapa tanam padi, dapat padi tetapi siapa tanam kebencian, dapat kebencian.

“Kau tanam benih padi, dapat padi; tanam benih jagung dapat jagung.

“Kau tanam benih kebencian, dapat kebencian. Ini hukum tabii.

“Malaysia harus menolak politik kebencian puak pelampau,” ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, Pas berpendapat tindakan pihak tertentu mengaitkan pengeluaran wiski jenama Timah dengan mereka adalah langkah terdesak untuk menyerang parti berkenaan.

“Sebenarnya ia bukanlah isu besar melainkan ia hanya tak ada modal lain hendak serang Pas,” kata timbalan presidennya, Tuah Ibrahim Tuan Man memetik harakahdaily.

Menurut harakahdaily, tuduhan berkenaan bertujuan untuk mencalar nama baik Pas sahaja kerana prinsip asas parti itu ialah menentang semua bentuk perbuatan mungkar.

Kata Tuan Ibrahim, menentang kemungkaran juga bukanlah tanggungjawab Pas semata-mata sebaliknya seluruh umat Islam.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, isu arak dan judi paling lantang dimainkan oleh Pas.