Malaysia Dateline

STFC bersedia bantu Selangor lawan Covid-19

Dengan dianggotai oleh tujuh pakar yang dketuai oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Selangor Task Force Covid-19 (STFC) kini bersedia untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia melawan Covid-19.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shaari, Dr Dzulkefly dibantu enam pakar dalam bidang masing-masing bagi melawan wabak ini selepas Selangor menjadi negeri tertinggi dijangkiti wabak ini.

“Fokus kami adalah memenuhi matra Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), test, test dan test,” kata Amiruddin mengulangi apa yang sering disebut oleh Dr Dzulkefly sebelum ini.

Katanya, untuk itu kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.7 juta untuk membuat ujian besar-besaran mengenai wabak ini agar mereka mendapat satu pendekatan terbaik untuk melawan wabak yang disebabkan oleh virus dan belum mendapat vaksin yang sesuai ini.

Selangor telah menubuhkan STFC dengan diketuai oleh Dr Dzulkefly dan dianggotai oleh enam pakar lagi.

Mereka adalah Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Kerajaan Negeri Selangor), Datuk Dr Christopher Lee Kwok Choo Ho (Ketua Jabatan Perubatan & Pakar Perunding Kanan Hospital Sg Buloh), Prof Datuk Dr Adeeba Kamaruzaman (Dekan Fakulti Perubatan UM), Datuk Prof Dr Fadzilah Kamaludin (Pengarah IMR), Dr Helmi Zakariah (CEO – AIME – Artificial Intelligence in Medical), Dr Yap Wee Aun (Pengarah Eksekutif Quanticlear Solutions)

“Kita cuba membantu KKM dan intitusi di bawah kerajaan negeri bagi melawan Covid-19. STFC akan membantu memberikan khidmat nasihat dan garis panduan untuk berdepan wabak ini,” kata Amiruddin.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Dr Dzulkefly memaklumkan, tugas utama STFC dalam menangani Epidemik COVID-19 ini adalah mempastikan ‘kemampuan fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Selangor terutama wad ICU dan kelengkapan seperti ventilator, sentiasa mampu menangani peningkatan kes’.

“Oleh itu sangat penting untuk sentiasa ‘melandaikan keluk epidemik’ atau ‘flattening the epidemic curve’ di negeri Selangor,”katanya.

Obejektif strategik STFC adalah pendidikan dan pemahaman Covid-19, didikan social distancing, menyedia garis panduan, menasihat penguasa agama dan membangun big data analytics dan mechine learning.