Malaysia Dateline

Stigma negatif pengalaman paling sakit ketika kuarantin kendiri

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, tempoh menjalani kuarantin kendiri antara pengalaman paling sakit perlu dilalui.

Menurutnya, orang ramai mempunyai stigma dan pandangan negatif terhadap mereka yang pulang dari kawasan berisiko atau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

“Lebih sadis adalah apabila sebilangan rakan-rakan sendiri turut menunjukkan sikap ‘paranoid’ yang berlebihan tanpa sense of emphaty and humanity. Saya percaya ramai melalui pengalaman yang sama.

“Secara peribadi, jujur, kesakitannya adalah jauh lebih berbisa daripada mendengar atau membaca rekayasa musuh tentang kita ketika mana kita berada dalam pasungan (tahanan) rejim pemerintah yang zalim.

“Kedua-dua rasa ini saya telah lalui. Alhamdulillah,” dipetik daripada catatannya di Facebook hari ini.

Justeru, Athirah menyifatkan pengalaman tersebut tidak akan menjadikannya takut untuk berhadapan dengan kehidupan di luar.

Beliau berkata, usaha bertemu sekaligus menyantuni masyarakat yang memerlukan akan diteruskan selepas ini.

“Hidup perlu diteruskan, yang penting patuhi SOP sebaiknya dan kekallah berfikiran positif,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu ujian pengesanan Covid-19 kali kedua terhadapnya telah disahkan negatif.

Walaubagaimanapun, jelasnya lagi, beliau akan tetap menghabiskan tempoh kuarantin 14 hari sehingga 13 Oktober dan akan juga mengambil ujian darah sehari sebelum itu.

“Ukhuwwah fillah itu sememangnya mudah diungkap, tetapi merealisasikannya apatah lagi pada saat paling perlu adalah suatu yang ternyata sangat berat untuk dilakukan.

“Terima kasih atas doa, sokongan dan keprihatinan semua ahli keluarga terdekat, sahabat-sahabat dan rakan-rakan kenalan jauh dan dekat,” tambah Athirah lagi.