STMicroelectronics tingkat pelaburan di Johor sebanyak RM7.5 bilion

STMicroelectronics tingkat pelaburan di Johor sebanyak RM7.5 bilion

Kerajaan negeri Johor berjaya menarik pelaburan tambahan sebanyak RM7.5 bilion daripada syarikat STMicroelectronics Sdn Bhd bagi projek pembesaran dan pembangunan kilang pengeluarannya di Tanjung Agas di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Johor telah meluluskan permohonan pelaburan syarikat berkenaan baru-baru ini termasuk bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Sebelum ini syarikat pengeluar elektronik dan semikonduktor multinasional Perancis-Itali yang beribu pejabat di Amesterdam, Belanda itu telah melabur sebanyak RM4.28 bilion dan ini menjadikan nilai keseluruhan pelaburan mencecah hampir RM12 bilion di Johor.

“Kepercayaan pelabur asing terhadap negeri ini telah menarik minat mereka untuk terus melabur dengan angka pelaburan yang dilihat agak tinggi dan perkembangan positif tersebut juga membuktikan hubungan baik antara Malaysia dengan negara-negara luar.

“Nilai pelaburan RM7.5 bilion oleh STMicroelectronics ini juga menjadikan 95 peratus daripada sasaran RM8 bilion pelaburan tahun ini bagi negeri Johor berjaya dicapai,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pejabat Majlis Daerah Tangkak (MDT) di sini.

Pengarah MIDA Johor, Shahzul Jayawirawan Mohd Yunos, Yang Dipertua MDT, Ezahar Abu Sairin dan Pegawai Daerah Tangkak, Mahadon Marnin turut hadir.

Puah berkata, kilang bagi sektor pembuatan elektronik dan semikonduktor berkenaan juga menguna pakai teknologi tinggi dan canggih selaras dengan polisi kerajaan dalam menghadapi gelombang revolusi Industri Keempat.

“Projek ini melibatkan dua fasa dan akan bermula pada tahun ini, ia dijangka mewujudkan sebanyak 597 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan membabitkan pelbagai posisi seperti pengurus, jurutera, bahagian teknikal berlatar belakang sains dan juruteknik,” katanya.

— BERNAMA