Stok minyak sawit Malaysia bagi Januari susut 6.69 peratus

Stok minyak sawit Malaysia bagi Januari susut 6.69 peratus

Stok minyak sawit Malaysia bagi Januari 2019 susut 6.69 peratus kepada tiga juta tan daripada 3.22 juta tan pada Disember 2018.

Stok minyak sawit mentah (MSM) berkurangan 3.69 peratus kepada 1.87 juta tan dalam bulan yang disemak daripada 1.94 juta tan bulan sebelumnya.

Stok minyak sawit yang diproses turun 11.27 peratus kepada 1.13 juta tan daripada 1.28 juta tan sebelumnya, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan ‘Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Bulan Januari 2019’ yang dikeluarkan hari ini.

Katanya pengeluaran MSM susut 3.9 peratus kepada 1.74 juta tan pada Januari daripada 1.81 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran isirung sawit juga menyusut 0.25 peratus kepada 445,427 tan pada Januari berbanding pengeluaran pada Disember sebanyak 446,528 tan.

MPOB berkata eksport minyak sawit naik 21.19 peratus kepada 1.68 juta tan pada Januari daripada 1.38 juta tan pada Disember, manakala eksport oleokimia turun 9.40 peratus kepada 229,937 tan daripada 253,802 tan.

Eksport biodiesel pada bulan yang disemak susut 41.24 peratus kepada 44,287 tan berbanding 75,374 tan pada Disember, manakala eksport dedak isirung sawit naik 12.04 peratus kepada 226,022 tan daripada 201,727 tan.

Pada Januari eksport minyak isirung sawit berkembang 28.36 peratus kepada 78,590 tan daripada 61,228 tan bulan sebelumnya.

— BERNAMA