Malaysia Dateline

Stok penimbal beras perlu terjamin dan telus

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid menyeru pihak kerajaan memastikan stok penimbal beras nasional terjamin ketika wabak Covid-19 sedang melanda seluruh dunia.

Beliau berkata, keadaan luar jangka seperti perubahan cuaca, penyakit, bencana alam , kelembapan ekonomi dan wabak akan menjejaskan bekalan beras jika negara bergantung kepada import dan tidak mengambil langkah proaktif.

Katanya, kebimbangan yang dinyatakan Persatuan Pemborong Beras Malaysia dan Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia bahawa harga beras import berkemungkinan akan naik perlu diberi perhatian serius.

“Pengguna berhak untuk tahu fakta sebenar mengenai isu ini iaitu berapa dan di mana stok penimbal beras negara disimpan supaya mereka tidak tersepit dalam keadaan di luar jangka dan tidak bersiap menghadapinya.

“Pemegang lesen import beras tunggal negara iaitu Bernas harus disemak semula supaya bekalan beras pengimport dari luar tidak bergantung hanya kepada satu syarikat.

“Beras adalah makanan terkawal negara. Bekalan dan harga perlu dijamin supaya tidak berlaku kekecohan dikalangan rakyat bila terputus bekalan dan ketika harga beras naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd Azmi berkata pihaknya mencadangkan antaranya ialah usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran padi domestik perlu direncana dengan rapi.

Katanya, kapasati pengeluaran jelapang padi yang kini sangat kritikal terutama di Kedah-Perlis (pembekal 40 peratus keperluan beras negara) perlu ditingkatkan.

“Bantuan kepada pesawah dan pengilang padi perlu disemak semula untuk menjamin mereka dapat terus mengushakan industri makanan asas negara.

“Kos penanaman padi juga perlu dikaji agar dapat dikurangkan seperti amalan bebas kimia, mengurang kos kejenteraan, dan penyimpanan benih oleh pesawah.

“Selain itu, skim insentif yang menarik perlu digubal agar lebih ramai generasi muda terlibat dalam industri padi negara. Logistik untuk penghantaran bekalan beras perlu dipastikan lancar ketika PKP dikuatkuasakan.

“Kawasan pendalaman perlu terjamin bekalan beras untuk penduduk yang berkenaan. Status bekalan yang mencukupi di satu-satu lokasi amat berbeza. Oleh itu pihak berkuasa perlu memastikan fakta yang tepat untuk menjamin bekalan mencukupi,” katanya.

Kemudian Mohd Azmi turut mencadangkan stok penimbal beras perlu dikemaskinikan dan dimaklumkan kepada awam untuk diketahui kedudukan sebenar.

“Keperluan beras dalam negara untuk memenuhi 3 juta metrik tan setahun ( 78 kg per kapita setahun ) juga perlu dicapai, oleh itu stok penimbal tidak boleh terlalu bergantung kepada import,” katanya lagi.