Stor IPFN Hospital KL terbakar

Stor IPFN  Hospital KL terbakar

Sebuah stor di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, enam buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLCC, Hang Tuah, Titiwangsa dan Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Empat jentera balai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Chow Kit, BPP Hang Tuah, BPP Setapak dan BPP Jalan Tun Razak dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kebakaran dipercayai berlaku di dalam bangunan IPFN HKL.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datin Dr Nor Akma Yusuf, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak dan seterusnya memadamkan kebakaran itu.

“Pengungsian atau evakuasi pesakit, kakitangan dan pelawat dari bangunan berdekatan dijalankan mengikut prosedur. Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Perkhidmatan di HKL tidak terganggu dan berjalan seperti biasa. Punca kebakaran serta kerosakan masih dalam siasatan pihak berwajib,” katanya.

Tambah beliau, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan Dr Nor Akma turut meminta orang ramai jangan membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai perkara itu.