Malaysia Dateline

Strategi kerjasama Pas-Umno untuk PRU15, kata Abdul Hadi

Strategi kerjasama politik PAS-UMNO kini turut meliputi rundingan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata perkara itu dibuat berdasarkan perkembangan kebelakangan ini yang menyaksikan kerjasama mereka berjaya menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil.

“Jawatankuasa Induk (kerjasama PAS-UMNO) secara terus-menerus mengadakan rundingan dan meningkatkan kerjasama secara berperingkat dan terpulang kepada mereka untuk memuktamadkan perkara itu.

“Antara perkara yang masih belum selesai (dalam rundingan jawatankuasa itu) melibatkan pembahagian kawasan dan calon dan sebagainya berkaitan PRU15 yang memerlukan kajian terperinci untuk memastikan kemenangan kita,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS di sini hari ini, yang dihadiri 758 perwakilan dari 179 kawasan, diketuai Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh.

Kerjasama PAS-UMNO sebelum ini membolehkan calon Barisan Nasional (BN) menang pada PRK Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau, menewaskan calon PH.

Abdul Hadi juga berkata penerimaan MCA dan MIC, selaku parti komponen dalam BN, terhadap PAS juga semakin baik dan mendakwa sudah terdapat perbincangan antara kedua-dua pihak.

“Kita sudah bincang dengan MIC dan kedua-dua parti (PAS dan MIC) juga sudah saling melawat. Ini menunjukkan perkembangan positif dan PAS juga membantu MCA menghadapi PRK Balakong,” katanya.

Sementara itu, ditanya jika Jawatankuasa Disiplin PAS sudah mengambil tindakan terhadap menantunya Zaharudin Muhammad berhubung kenyataannya berkaitan isu ‘kartel dedak’, Abdul Hadi berkata beliau tidak mencampuri urusan itu.

“Jawatankuasa disiplin bebas untuk ambil tindakan terhadap sesiapa sahaja termasuk saya, jika ada sebabnya,” katanya.