Strategi Pas menghairankan, mungkin hilang semua kerusi pantai barat, kata penganalisis

Strategi Pas menghairankan, mungkin hilang semua kerusi pantai barat, kata penganalisis

 

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian menjangkakan Pas bakal kalah di semua kerusi Parlimen di Pantai Barat Semenanjung Malaysia ekoran strategi Pas yang pelik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, keputusan Pas untuk bertanding di 160 kerusi menyaksikan Pas akan turut meletakkan calon di kerusi kawasan bercampur memandangkan kerusi majoriti Melayu hanya sekitar 120 kerusi.

“Menarik untuk melihat Pas keluar dari zon selamat iaitu zon majoriti Melayu dan masuk ke kawasan-kawasan campuran kaum.

“Kalau masuk (bertanding) 160 kerusi, ini bermaksud Pas akan turut bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti Melayu sangat rendah.

Ibrahim Sufian

“Mungkin Pas melihat dalam konteks pertembungan tiga penjuru, Pas boleh menggarap sokongan pengundi Melayu yang tinggal di sesuatu kawasan.

“Itu merupakan satu strategi yang menghairankan,” tegasnya pada program #MalaysiaMemilih di Astro Awani yang dimoderatorkan Nazri Kahar.

Ibrahim memberitahu penyokong tegar Pas berjumlah hanya 25 peratus manakala pengundi bukan Islam diyakini tidak lagi memberi undi kepada parti tersebut.

“Jika kita lihat pada sejarah pilihan raya tiga penggal yang lepas dan unjuran pada masa akan datang, kita melihat penyokong tegar Pas itu kemungkinan besar kekal tetapi mereka berjumlah 25 peratus.

“Kalau masuk ke kawasan campuran, kita tidak melihat pengundi bukan Muslim akan memberi undi kepada Pas secara signifikan.

“Dalam konteks pertembungan tiga penjuru pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016, kita melihat undi pengundi Cina kepada Pas itu kurang tiga peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ibrahim menjangka Pas akan menanggung kekalahan di semua kerusi pantai Barat dari Perlis hingga ke Johor.

“Beberapa kerusi di Kelantan dan Terengganu pula tidak selamat lagi kerana Pas telah tersepit dengan Parti AMANAH selain Bersatu yang akan sama bertanding.

“Ada kemungkinan besar Pas akan kehilangan begitu banyak kerusi dan kembali pada prestasi mereka ketika bersendirian iaitu sebelum 1990. Mereka hanya menang beberapa kerusi,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat segmen pengundi Pas yang terhad menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRU14 cenderung merugikan parti dikepalai Abdul Hadi itu.

“Kita tidak melihat pertembungan tiga penjuru ini akan menguntungkan Pas kerana Pas hanya terhad pada pengundi Melayu Islam.

“Kita tidak melihat pengundi bukan Muslim akan tertarik dengan Pas,” tambahnya lagi.

3.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 6.0
CATEGORIES