Malaysia Dateline

Strategi Pas PRN Melaka: Lawan Umno dan kalah atau kerjasama dengan AMANAH

Pas sudah tidak ada lagi kerusi yang sesuai untuk ditandingi tanpa melawan Umno selepas parti itu mengumumkan akan bertanding di 20 kerusi Melayu di Melaka.

Penganalisis politik dari Univesiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, jika Pas tidak mahu melawan Umno, sudah tiada kerusi yang sesuai untuk ditandingi.

“Kalau ambil keputusan untuk lawan, agak sukar untuk Pas menyaingi Umno di kerusi-kerusi tersebut sekalipun bertanding atas lambang PN.

“Jika ingin menyelamat kerjasama bersama Umno dalam MN, sudah tentu pilihan terbaik Pas adalah tidak bertanding.

“Atau teruskan bertanding melawan Umno atas nama PN dengan mengambil dua risiko besar iaitu (i) kalah dan (ii) rosak masa depan MN,” katanya.

Pas, katanya, mempunyai satu lagi pilihan jika mahu melawan Umno juga dalam PRN Melaka iaitu bekerjasama dengan AMANAH.

“Jika nak lawan juga Umno dalam PRN Melaka, Pas boleh cuba-cuba bincang untuk kerjasama dengan AMANAH.

“Kerjasama dengan AMANAH akan meningkatkan peluang Pas untuk tewaskan Umno.

“Lagipun AMANAH belum umumkan senarai calon mereka.

“Ramai je orang nikah semula dengan janda mereka selepas bercerai,” kata Dr Yusri dalam satu analisisnya dan disiarkan di facebook beliau merujuk kepada sebahagian besar ahli dan pemimpin AMANAH adalah bekas ahli dan pemimpin Pas.

Umno hari ini telah mengumum bertanding kesemua 20 Dun majoriti Melayu di Melaka dan telah siap dengan nama-nama calon yang terlibat.

Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa BN akan bertanding secara solo dan menggunakan logo sendiri, serta tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain dalam PRN yang dijadualkan pada 20 November itu.

“BN pergi bersendirian.

“Saya ulang sekali lagi, tidak ada lagi soal jawab sama ada nak bersama dengan siapa-siapa,” katanya dalam sidang media pengumuman calon-calon BN yang turut disiarkan dalam talian.

Pada sidang media itu, Mohamad mengumumkan Umno akan menurunkan seramai 20 calon, MCA mempertaruhkan tujuh calon, manakala MIC meletakkan seorang calon untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka.