Malaysia Dateline

Strategi perang awak silap, kata Saifuddin kepada rakan-rakannya dalam PKR

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail mempertikaikan pendekatan sesetengah rakan beliau dalam PKR yang berkata Pakatan Harapan tidak berpeluang menang dalam PRU-15 ini.

Pandangan Saifuddin ini adalah senada dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan, pemimpin AMANAH dan DAP, yang menolak pandangan berkenaan.

“Kita nak pergi perang, lepas tu kita kata kepada tentera kita, kita akan kalah dalam perang.

“Mana betul strategi tu.

“Yang perlu kita buat adalah, setelah menyedari kita ada masalah untuk menang, kita bina strategi untuk menang dengan pelbagai cara termasuk membuat jaringan, kerjasama dan sebagainya, bukan bagi tahu kita akan kalah kepada umum.

“Beritahu dalam bilik strategi sudahlah,” kata Saifudin dalam satu majlis yang diadakan di Sungai Lalang, Kedah kelmarin.

Saifudin dipercayai menjawab pandangan dua rakan yang bertembung dengan beliau dalam pemilihan PKR akan datang ini iaitu Rafizi Ramli dan juga Jurul Izzah Anwar.

Kedua-dua mereka berkata, PH hanya akan boleh menang selepas dua pilihan raya umum akan datang dan menyasarkan hanya 80 kerusi Parlimen sahaja untuk PRU-15 ini.

“Hancur luluh hati kita bila ada kawan yang sebut, PRU-15 kita tidak akan menang, tunggu 10 tahun akan datang.

“Tahukah kita, kalau kleptokrat kembali memerintah negara kita lima tahun tahun lagi, kita ada peluang lagikah untuk menang selepas itu.

“Sebab itu, kita kena ambil kuasa politik, kuasa pemerintahan seawal pilihan raya ke 15 ini walau apa cara sekalipun,” kata Saifudin.