Malaysia Dateline

Strategi tangani Covid-19 gagal walaupun dengan PKP, darurat

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendakwa strategi Malaysia dalam memerangi gelombang ketiga wabak Covid-19 telah gagal, baik dari segi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mahupun melalui pengisytiharan darurat.

Lim Kit Siang
LIM KIT SIANG

Beliau berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Pasifik yang mencatatkan lonjakan kes Covid-19 selama empat bulan berturut-turut dari 20 September tahun lalu.

Sedangkan di India katanya, negara kedua di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terbanyak iaitu 10.8 juta kes, telah menyaksikan penurunan drastik dalam peningkatan kes harian Covid-19 dari 97,850 kes pada 17 September 2020 kepada 8,587 kes setakat semalam.

“Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuka jalan untuk mengubah strategi kepada pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” yang tidak perlu bergantung kepada peningkatan hukuman?

“Sebaliknya kempen penerangan yang efektif perlu dilaksanakan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat bagi menanamkan semangat ‘perang’ untuk melawan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Lim juga bertanya sama ada MKN bersedia untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang khas Parlimen mengenai wabak Covid-19 untuk menjadikan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai platform utama perang melawan wabak Covid-19.