Street Dakwah cara santai sampaikan mesej Islam

Street Dakwah cara santai sampaikan mesej Islam

Menggunakan kawasan tumpuan ramai berserta konsep santai dan terbuka, Street Dakwah berjaya menarik pelbagai golongan tidak mengira umur untuk turut serta dalam program berkenaan.

Pengarah program Dakwah Street V13.0, Malek Mohamed Zahari berkata, program kali kedua yang dianjurkan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan 23 Januari lalu mendapat sambutan luar biasa.

Orang ramai yang sertai Street Dakwah“Objektif untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk santai dan bersahaja tercapai apabila rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan kaedah berkenaan bersesuaian dan perlu diketengahkan lagi.

“Lebih bermakna kita juga berjaya menarik lebih ramai golongan muda untuk turut serta dalam program yang bermula jam 6.30 petang sehingga 11.30 malam, Sabtu lalu,” katanya.

Menurutnya, program sebegini sudah banyak dilakukan di luar negara dan mengapa tidak pendekatan berkenaan digunakan sebagai medium dakwah tempatan.

“Kami berharap Street Dakwah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa semata-mata.

“Sebaliknya, setiap individu Muslim itu sendiri berperanan dan bertanggungjawab menyampaikan dakwah dengan pelbagai medium mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, salah seorang jawatankuasa penganjur Street Dakwah, Safuan Hakimi berkata, walaupun hujan renyai sejak awal lagi, ia tidak menghalang pengunjung untuk terus datang ke Dataran Menara Condong.

“Lebih 3,000 pengunjung hadir malah mereka tidak berganjak sehingga slot terakhir kami iaitu forum selebriti yang dipengerusikan oleh Pencetus Ummah Yeop,” katanya.

Pengunjung, Shaiful Rizal Saed, 30, berkata, pendekatan dakwah bersahaja dan santai berselang-seli dengan hiburan islamik merupakan medium yang tepat dan mampu menarik pelbagai lapisan umur.

Forum Street Dakwah“Saya berpuasa hati dan tidak rugi datang ke majlis seumpama ini kerana ia memberi kita ilmu yang jarang untuk diperoleh.

“Saya lihat dengan kehadiran pengunjung yang ramai hari ini, program seumpama ini perlu diketengahkan kerana ia jelas membuktikan pendekatan dakwah secara santai dan bersahaja semakin diminati,” katanya.

Program itu dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Perak melibatkan Pengerak Qariah Kampung Bahagia, Kembara Ilmu Ipoh, Belia Masjid Batu Gajah, Masjid Nur Ramadhan dan Generasi Islam Gempak Ipoh.

Antara pendakwah dan selebriti yang turut hadir pada program berkenaan adalah Dr Roslan Mohamed, Ashraf Muslim, Yatt Hamzah, Daie Elyas dan ramai lagi.

TAGS