Streram kekal calon PH kerana sukarela pergi Afghanistan, kata Anwar

Streram kekal calon PH kerana sukarela pergi Afghanistan, kata Anwar

Anwar menjulang tangan Dr S Streram sebagai calon PH bagi PRK Rantau.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, keputusan mengekalkan Dr S Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau kerana pakar bius itu mempunyai sikap perikemanusian yang tinggi.

Berbeza dengan calon BN yang merupakan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, Streram berpengalaman menjadi sukarelawan perubatan di Afghanistan.

“Hak Streram dinafikan dan dia dizalimi. Dia jadi mangsa kezaliman dan penipuan. Tapi saya tetap pilih dia sebab apa?

“Dan kita tengok sejarah, dia India, beragama Hindu tetapi dia sukarela pergi ke Afghanistan untuk tolong orang Islam yang luka parah.

“Dia pergi Syria, tempat orang luka parah untuk jadi sukarelawan. Dia doktor perubatan untuk tolong orang susah, orang Islam yang susah.

“(Timbalan Presiden Umno) Mohamad Hasan pergi mana? Itu sebabnya, saya tak sanggup nak tukar (Streram),” ujarnya.

Antara kira-kira 500 hadirin dalam majlis pengumuman calon PRK N27 Rantau.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pengumuman Calon PRK N27 Rantau di Mambau hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bersatu Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pemimpin kesemua komponen PH menyokong penuh pencalonan Dr S Streram.