Malaysia Dateline

“Stress teramat”- Warganet kongsi pengalaman setiap hari hadap jem teruk di KL

Kuala Lumpur sejak dahulu sinonim dengan masalah kesesakan lalu lintas dan akhir-akhir ini ramai yang meluahkan rasa ‘stress’ terpaksa meredah jem yang semakin teruk.

Di Twitter, seorang pengguna @kamalitaewon berkongsikan video kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur pada waktu malam disebabkan orang ramai masih berkejar mahu pulang ke rumah.

Menerusi ciapannya dia berkata, tekanan hidup di Kuala Lumpur begitu tinggi kerana terpaksa berhadapan keadaan sama sehingga mengambil masa berjam jam hanya untuk perjalanan dari pejabat ke rumah.

Dia juga mencongak-congak sekiranya warga KL keluar rumah seawal jam 6 pagi dan pulang pada jam 5.30 petang, memang ramai yang akan tersekat di jalan raya biarpun sehingga waktu malam.

“Allahu tak dapat bayangkan betapa tertekannya mental. Kalau balik kerja pada waktu pejabat sekitar 5:30pm atau 6pm, dekat 8 malam macam ini pun belum sampai rumah bersesak sesak jem.

“Hari-hari hadap macam ni. Esok keluar awal pagi lagi. Serius boleh mental breakdown,” ciapnya di Twitter.

Ciapan tersebut meraih perhatian warganet yang rata-rata dari mereka turut sama berkongsikan pengalaman meredah jem setiap hari sehingga mengganggu kesihatan mental sendiri.

Seorang pengguna Twitter meluahkan dia sudah merasa ‘mental breakdown’ sejak bulan puasa lagi kerana terpaksa meredah jem dan pada masa yang sama berkejar pulang ke rumah menyiapkan juadah berbuka puasa.

Sementara itu ada yang beranggapan bahawa punca terjadi kesesakan luar biasa di Kuala Lumpur disebabkan sikap kerajaan yang hanya memfokuskan pembinaan bangunan baru kerana mahu mencipta peluang pekerjaan di KL dan Lembah Klang.

“Kerajaan perlu buat sesuatu. Laksanakan KL 2.0 di tempat lain merupakan satu permulaan yang baik,” cadang @naj_azman

“Cukup-cukuplah tambah bangunan yang tidak diperlukan di KL. Dah cukup sesak dah sekarang ini. Warga KL memerlukan lebih banyak parkir dan bukannya pusat membeli belah,” tambahnya lagi.

Benarkan semula WFH

Selain itu ada pengguna berpendapat majikan patut membenarkan pekerja-pekerja melakukan pekerjaan dari rumah (WFH) sekiranya tiada hal penting perlu diselesaikan di pejabat.

Tetapi disebabkan Covid-19 kini diisytihar endemik, banyak majikan sudah menetapkan keperluan datang semula ke pejabat seperti biasa dan WFH tidak mungkin akan berlaku, menurut mereka lagi.

Ada juga yang berkongsikan terpaksa berhabis lebih RM1,300 sebulan hanya untuk menyewa rumah berdekatan pejabat dan ulang alik ke rumah setiap waktu rehat supaya dapat berjimat.

“Dulu aku kerja di sebuah syarikat telko di Sunway. Mula-mula sewa rumah jauh dari pejabat, memang murah tapi jem memang tak mampu nak hadap.

“Sudahnya, sewa ‘master bedroom’ di Palmville Sunway sebelah dengan pejabat. Sebulan sewa RM1,350. Pergi kerja jalan kaki. Waktu rehat balik rumah,” tulis akaun @SSetepek

Antara komen pengguna Twitter yang lain: