Struktur baharu lantikan menyimpang daripada matlamat asal penubuhan Yadim, kata Pas

Struktur  baharu lantikan menyimpang daripada matlamat asal  penubuhan Yadim, kata Pas

Pas melihat penstrukturan baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan akan membawa badan amanah itu menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya pada tahun 1974.

Setiausaha Agungparti Datuk Takiyuddin Hassan berkata, partinya meragui di bawah dasar dan pendekatan baru Yadim kini dan tujuan penubuhannya akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik PH.

Datuk Takiyuddin Hassan

Datuk Takiyuddin Hassan

“Ini dapat dilihat daripada komposisi Ahli-ahli Lembaga YADIM sekarang dibarisi sebahagian besarnya di kalangan pimpinan parti-parti PH termasuk dari DAP.

“Bagi Pas perlantikan Adun DAP Sheikh Omar Ali, sebagai salah seorang Ahli Lembaga Yadim memperlihatkan Kerajaan PH akan membiarkan Yadim turut dicorakkan oleh DAP walaupun DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar Islam walaupun tidak langsung melihatkan rakyat Bukan Islam.

“Ini termasuklah sikap DAP terhadap peruntukan-peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam dan institusi Agama Islam, usaha memperkasakan Mahkamah Syariah dan perlaksanaan Syariat Islam di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Takiyuddin lagi walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berpendapat pelantikan Sheik Omar kerana kelayakannya yang memiliki Ijazah bidang Usuluddin dilihat dangkal

“Amatlah dangkal kerana sebagai seorang ahli DAP apatah lagi Adun DAP, beliau adalah terikat kepada dasar-dasar DAP bukannya kepada ilmu yang dipelajarinya.

“Pas merasakan ramai lagi tokoh-tokoh agamawan yang lebih berwibawa dari segi ilmu dan mendapat keyakinan umat Islam berbanding beliau, walaupun bukan keturunan ‘Sheikh’, boleh dilantik menduduki Lembaga Yadim,” ujarnya lagi.

Justeru Pas katanya, menyeru Kerajaan mengkaji semula struktur keanggotaan Yadim demi memastikan yayasan itu tidak lari dari matlamat asal penubuhannya terutama visinya iaitu “menerajui urusan dakwah berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah”.

Sejak semalam satu senarai yang didakwa sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu tersebar di media sosial.

Dalam senarai itu calon Pilihan Raya Umum dari Amanah, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Yang Dipertua Yadim sementara Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin pula merupakan Timbalan Yang Dipertua Yadim.

Sepuluh Ahli Lembaga Pemegang Amanah juga didakwa terdiri daripada lantikan politik termasuk Ahli Dewan Udangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali yang merupakan ahli DAP.