Struktur kepimpinan Pakatan Harapan hampir selesai, kata Azmin

Struktur kepimpinan Pakatan Harapan hampir selesai, kata Azmin

Struktur kepimpinan Pakatan Harapan kini sedang giat dibincangkan dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin ia akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.

Menurut Azmin seperti dilapor Oriental Daily berkata, struktur itu hanya memerlukan sedikit penyelarasan.

“Perbincangan mengenai struktur organisasi Pakatan Harapan bukan hanya tertumpu kepada jawatan, ia turut memfokuskan persiapan setiap parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk isi kandungan manifesto PRU, jadi semua masih dalam perbincangan terperinci dan penyelarasan.

“Bagaimanapun, proses rundingan berjalan lancar ketika ini dan masalah ini dijangka boleh selesai dalam masa singkat,” katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor semalam.

Pada 22 Jun lalu, ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pendaftaran secara rasmi Pakatan Harapan akan dibuat selepas cuti hari raya disebabkan beberapa perkara belum diselesaikan.

Katanya, parti dalam PH sedang melakukan perbincangan berhubung struktur barisan kepimpinan sebelum dipersetujui secara konsensus oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Mengenai sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gabungan itu, Azmin berkata, sebarang rundingan akan wujud perbezaan pendapat dan mereka akan mendengar semua pandangan itu.

Menteri besar Selangor itu berkata, yang penting ialah ia boleh membawa kesan dan perubahan positif pada PRU akan datang.

“Hala tuju rundingan kami tidak tertumpu kepada siapa memegang jawatan apa, sebaliknya ialah struktur macam mana paling berkesan dan berpengaruh.”

Sebagai rekod dalam senarai pucuk pimpinan Pakatan Harapan yang tersebar pada awal bulan lalu, Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir dikatakan dilantik sebagai pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat Pakatan Harapan.

Dr Wan Azizah pula dikatakan menjadi timbalan pengerusi, sementara Azmin sebagai timbalan presiden, manakala Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 14 Jun lalu menafikan Dr Mahathir akan dilantik sebagai pengerusi dan parti itu mempunyai struktur organisasi berbeza daripada senarai tersebar itu.