Malaysia Dateline

SU AMANAH Pulau Pinang tubuh tabung Covid, sumbang elaun selama 6 bulan

AMANAH Pulau Pinang tekad untuk membantu mengumpulkan dana bagi disumbangkan kepada golongan terkesan ekoran penularan wabak Covid-19 dengan menubuhkan Tabung Covid-19 sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Setiausahanya, Mohd Saifullah Abd Nasir dalam kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline berkata, keprihatinan AMANAH Pulau Pinang setelah melihat dengan jelas dan ketara, begitu ramai yang berputus asa kerana hilang punca pendapatan mereka dan ada yang terputus bekalan makanan keluarga.

“Sebagai permulaan saya turut mengambil tindakan segera bagi membantu golongan tersebut dengan mengumumkan pemotongan elaun bulanan saya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai berjumlah sekitar RM15, 000 selama enam bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 AMANAH Pulau Pinang.

“Sumbangan ini akan dikelolakan oleh semua AMANAH kawasan, Pemuda dan juga wanita seluruh negeri Pulau Pinang dengan harapan ianya dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan pandemik tersebut serta sekatan pergerakan penuh (Lockdown).

“Semua kawasan seluruh negeri boleh mengambil langkah perlu mengikut kesesuaian dalam mengelola sumbangan tersebut dan diharapkan lebih ramai lagi penjawat jawatan politik di Pulau Pinang dan seluruh negara bersama-sama menyumbang bagi meringankan beban orang ramai,”ujarnya.

Sejajar dengan itu Mohd Saifullah juga menggesa kerajaan supaya melihat keperluan mendesak moratorium menyeluruh kepada semua golongan masyarakat serta bantuan kewangan seperti mana yang telah dilaksanakan semasa PKP 1.0 terdahulu.