Malaysia Dateline

SU politik Hamzah buat laporan polis, Lokman Adam fitnah bosnya

Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Sayed Amir Muzzakkir membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sayed membuat laporan terhadap satu siaran langsung Facebook Lokman yang bertajuk ‘Hamzah Zainuddin shopping sakan, bukan takat MP nak dibeli, parti pun hendak dibeli’.

Menerusi siaran langsung itu, Lokman mendakwa Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail telah didatangi seorang Datuk Seri iaitu Hamzah Zainuddin yang menawarkan sejumlah wang untuk Ahli Parlimen PKR itu menyertai Bersatu.

“Di dalam hantaran tersebut, Lokman telah mengeluarkan fitnah terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, yang menyebut YB Natrah mengatakan bahawa beliau di datangi seorang Datuk Seri iaitu Hamzah Zainudin.

“…. Dan telah menawarkan sekian jumlah harga, supaya YB Natrah melompat menyertai Bersatu dan memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kenyataan ini adalah berniat jahat, fitnah, menghasut dan memupuk perasaan benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan serta mendatangkan perasaan tidak tenteram rakyat terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya seperti dipetik melalui surat laporan polis yang tersebar.

Sebelum ini, Natrah mendedahkan dirinya ditawar wang berjumlah RM10 juta untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dilaporkan juga, Natrah telah didatangi dua individu yang cuba menyogok beliau dan berpaling tadah dari PKR.

Sayed Amir dalam laporan itu berkata, Lokman telah memfitnah peribadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dengan tuduhan membeli Ahli Parlimen.

Dia juga menggesa agar pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap Lokman serta mengambil tindakan tegas berlandaskan perundangan negara.