Malaysia Dateline

SUA wakili Mujahid buat laporan terhadap Adun Slim River

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib serta portal MyNewsHub kerana memuat naik poster kenyataan fitnah terhadap beliau.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Akhbar Menteri, Siti Zulaikha Zulkifli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 11.03 pagi tadi susulan tindakan Ketua Umno Tanjung Malim itu yang memuat naik sebuah banner berkenaan isu Wendy Loong menghina Nabi Muhammad di laman Facebooknya.

“Untuk makluman, laporan polis itu dibuat ekoran penyalahgunaan gambar dan nama Yb Menteri. Kenyataan di poster itu bertulis: “Wendy Loong hina nabi adalah kes terpencil. Orang Islam jangan terasa hati – Mujahid”.

“Selain itu, ADUN Slim turut memuat naik poster sama dengan menulis status di Facebook beliau dengan tulisan berbaur perkauman dan hasutan iaitu: ‘Selepas ini sesiapa saja individu boleh hina apa saja agama, kerana perbuatan itu sudah diklasifikasikan oleh Menteri Agama sebagai kes terpencil dan tidak perlu diambil sebarang tindakan. Jangan ada mana-mana pihak terasa hati’.

“Ingin ditegaskan bahawa Yb Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikian.

“Malah, beliau dengan tegas telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad atau agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, Mujahid telah merujuk perkara tersebut kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya di mahkamah.

Zulaikha ketika membuat laporan polis berkata, laporan dibuat kerana kedua-dua penyataan yang dimuatnaik Khusairi merupakan fitnah.

“Saya membuat laporan ini agar individu dan pengendali page tersebut di siasat dibawah seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun tersebut,”ujarnya.

Baca: Mujahid akan lapor polis, saman