“Suami aku asyik cakap tiada duit, tetapi kalau biras minta apa-apa laju dia belikan”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka, insan bergelar biras seakan mahu merebut kasih sayang suami daripada keluarga kecilnya.

Rumah tangga wanita yang dikenali sebagai Sari itu kian retak setelah abang iparnya yang juga suami kepada sang biras terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah.

Hampir putus asa untuk menyelamatkan rumah tangga, berikut adalah perkongsian Sari yang menderita selepas harus tinggal serumah dengan abang ipar dan birasnya.

“Assalamualaikum. Aku merupakan seorang suri rumah yang berumur 24 tahun. Anak ada tiga orang. Kalau mak tak kena penyakit strok (angin ahmar), mungkin sekarang aku sedang berada dalam tahun ketiga universiti. Mak pula mungkin akan bantu jaga anak-anak aku sebab dia tak suka hantar pengasuh.

“Selama empat tahun perkahwinan dengan suami, tahun lalu merupakan yang paling teruk setakat ini. Abang ipar dan birasku duduk serumah dengan kami menyebabkan situasi menjadi tidak selesa. Aku juga terpaksa menanggung keperluan biras kerana abang ipar adalah seorang penagih. Apa yang dia boleh buat.

“Suami pula buat bodoh sahaja apabila aku minta usirkan manusia yang tidak guna itu. Hal ini menyebabkan aku berdendam dengan suami. Aku sedarlah pada waktu itu yang diri ini bukanlah sesiapa kecuali hanya pendatang dalam keluarga suami. Baju, mainan dan belanja anak-anak aku guna duit simpanan sendiri.

“Setiap kali aku minta sesuatu buat anak-anak, suami akan buat ‘muka’. Tetapi kalau biras aku minta baju untuk anaknya, dengan kadar segera suami belikan. Aku terasa hati sangat-sangat. Aku benci suami sendiri. Setiap kali dia pulang rumah, biras yang seharian duduk dalam bilik pun keluar nak bercerita manja dengannya.

“Sedangkan aku bagai tunggul berdiri di samping suami yang duduk di kerusi. Tahun lalu jugalah suami tampar aku disebabkan kunci pintu bilik. Aku tertidur dan dia pula balik lewat tengok match. Aku kunci pintu sebab abg ipar suka buka pintu tak ketuk dulu. Katanya sebab nak tengok anak-anak aku. Entahlah.

“Suami janji tak buat lagi. Tetapi awal bulan ini bila suami balik jam 3 pagi, aku minta dia tidur di luar untuk elakkan kami bergaduh. Suami tak nak dan apabila aku keluar, dia ugut dan bersumpah atas nama Allah untuk membunuh isterinya ini. Aku tergamam. Sanggup pula dia cakap macam itu.

“Baju, kasut dan perhiasan anak-anak aku beli sendiri. Teringin nak tengok mereka bergaya di hari Aidilfitri pertama walau kami tak beraya kemana. Tak berani beritahu suami, nanti dia buat muka lagi. Tak sukalah orang yang tak ikhlas dengan keluarga kecil sendiri. Sekarang biras aku sudah balik ke kampung halamannya.

“Tetapi abang ipar penagih itu masih ada lagi. Bilik dan bajunya suami akulah yang uruskan. Aku ada juga tanya suami bila abang ipar nak keluar, katanya jangan tanya lagi. Iyalah aku ini siapa kan. Abang ipar pula dapat makanan percuma dan duit yang jatuh dari langit, mana mahunya dia nak berambus.

“Kalau membantu tidak mengapalah, ini kerjanya menyumbang kepada pencemaran asap rokok dalam rumah sahaja. Dalam hati aku buat masa ini, hanya ada kebencian terhadap suami. Tetapi aku tak tahu nak buat apa. Bila diluah, suami macam pandai manipulasi dan letakkan kesalahan kepada aku balik.

“Jadi aku tengah kumpul bukti dan merangka hujah agar aku tidak dimanipulasi dan dibodoh-bodohkan lagi. Entah apa yang ada di dalam otak bapak sampai jodohkan aku dengan lelaki bangang macam ini. Sepanjang hidup, rajin buat perniagaan tetapi tak pernah maju. Iyalah, sebab membela banyak biawak hidup.

“Aku ajak suami buka akaun bank simpanan untuk anak dia cakap duit tiada. Tetapi diam-diam beri pinjam dekat kawan sampai ribuan ringgit. Tidak mengapalah, Insya-Allah mesti ada rezeki aku nanti. Kamu semua doakan aku berjaya ya. Jika pembaca berada dalam situasi aku, apa yang kamu semua lakukan?

“Aku sekarang sudah malas mulakan langkah pertama selamatkan rumah tangga. Hanya tunggu dan lihat sahaja apakah tindakan yang akan dilakukn suami. Suka hati dialah nak buat apa. Malas nak fikir.” Kongsi Sari (Bukan nama sebenar) dalam satu hantaran di dalam laman luahan atas talian.

Baca juga: Tak sampai setahun kahwin, wanita nikahi remaja lelaki bagi alasan selalu gaduh punca nak cerai