“Suami aku bukan kerja syarikat biasa-biasa tapi emas aku licin digadainya, duit pula entah ke mana”

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah berhabis segala harta demi pasangan namun tidak pernah sekalipun suami atau isteri menghargai pengorbanan.

Malah ada yang sanggup marah apabila permintaan tidak dipenuhi, apatah lagi bila berulang kali perkara sama berlaku.

Seorang wanita Siti (bukan nama sebenar) tak menyangka si suami sanggup menggadaikan semua emasnya namun tidak memaklumkan ke mana wang itu pergi.

Di bawah adalah luahan tersebut.

Aku ni dah kahwin 11 tahun, rumah tangga kami biasalah ada naik ada turun. Tak ada lah bahagia sangat, dan tak derita sengsara sangat.

Alhamdulillah Allah masih beri nikmat sihat untuk aku, anak-anak dan suami. Cuma masalah kewangan kami yang agak ketara bulan-bulan buat aku runsing.

Selalu minta barang kemas untuk dipajak

Aku tak faham dengan perangai suami aku ni. Dulu masa awal dua tahun kahwin, dia dah minta rantai kahwin aku untuk pajak. Aku pun kesian dan sayang, aku bagi.

Akhirnya dia biarkan luput dan tak ambil peduli langsung rantai aku. Habis burn di kedai pajak. Cincin kahwin burn, cincin tunang burn, dan cincin mak aku bagi pun burn.

Tapi tu kisah sembilan tahun lepas. Lepas tu, dah tak ada isu pajak ni sangat sebab dia tak belikan aku apa-apa pun untuk dia minta. Semua barang aku beli, atau mak aku punya.

Dua tahun lepas dia ada belikan untuk anak aku rantai gelang emas, dan korang mesti boleh bayangkan, tak sampai setahun beli, dia minta untuk pajak.

Sekali lagi, gelang tu pun burn di pajak gadai. Kesian anak aku, akhirnya mak aku yang belikan untuk anak aku gelang emas.

Ok, tahun lepas aku dapat baby, mak mentua aku hadiahkan gelang emas untuk baby aku, dan aku dah agak nasib gelang tu.

Masa mak mertua aku nazak sakit, suami minta untuk letak di kedai pajak dan janji akan ambil balik.

Aku pun bagi sebab nanti akan ada pembahagian duit mak mentua bila dia dah tiada, tapi sangkaan aku meleset. Burn jugak gelang budak kecil tu di kedai pajak.

Masa aku mengandung, dia ada mintak cincin dan loket aku, aku pun bagi sebab kesian, dan memang terdesak nak pakai duit.

Menangis bila hilang emas terakhir

Bila dah masa nak perbaharui surat, dia buat tak endah, sebab masa tu kami gaduh, akhirnya aku punya sakit hati aku koyak surat tu sambil nangis.

Aku fikir memang nasib aku tak merasa nak simpan emas untuk diri aku. Sekarang ni, arwah mak mertua aku ada bagi subang dua jenis, rantai untuk aku dan rantai untuk anak aku satu.

Aku dah tolak subang tu dan buat loket untuk anak aku sebab subang tu jenis orang lama-lama pakai, tiba-tiba suami aku WhatsApp minta subang tu untuk dia pergi letak, konon duit tak cukup.

Aku kata subang tu aku tolak dah, dan aku pon terangkan aku dah bagi banyak barang kot, yang ni pun kau nak lagi ke?

Suami mengamuk sebab tak dapat emas

Pastu dia marah aku kata semua nak buat pandai, lepas ni jangan tanya dia apa dah kalau nak buat apa-apa.

Aku tersentap, tergamam. Pengorbanan aku selama ni semua sia-sia. Tak dikenang, tapi aku la yang jahat sebab aku tak bagi barang mak dia.

Ikut hati nak ja aku campak rantai mak dia yang aku pakai ni, tapi aku tak sanggup tengok satu persatu barang aku lingkup.

Kali ni aku tebalkan hati dan tak akan bagi dah apa pun barang untuk dia pergi letak kat kedai pajak. Hati aku hancur. Dan tiap kali gaduh, dia akan activated silent treatment dia.

Buat tak endah, tak cakap berminggu-minggu, dan aku pon akan jadi tertekan balik fikir perangai dia.

Aku ni suri rumah ja, dia tu bekerja di syarikat terkemuka kot, tak kan bulan-bulan dapat gaji tak cukup, kau buat apa? Sungguh aku tak faham.

Rantai satu lagi kakak dia pegang, sebab suami aku sendiri suruh pegang takut dia pergi pajakkan. Aku buntu, down dan macam nak gila fikir benda ni.

Baca juga: “Aku sibuk uruskan 5 anak dekat rumah, rupanya suami kantoi ‘outstation’ dengan janda…”