“Suami bayar nafkah, buat kerja rumah tapi aku tak puas hati. Tak bersyukurkah aku?”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita khuatir sekiranya rasa tidak puas hatinya terhadap suami datang daripada sifatnya yang kurang bersyukur atas pemberian dan ketentuan Ilahi.

Dikurniakan jodoh yang baik hati, wanita bernama Ozel itu mengagumi suaminya kerana tetap membayar nafkah walau pendapatan lelaki terbabit tidaklah sebesar mana.

Berikut perkongsian Ozel mengenai satu kekurangan di dalam diri suaminya hingga membuatkannya hilang arah tuju untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya itu.

“Assalamualaikum, nama aku Ozel. Usia pertengahan 30-an. Bekerja di dalam sektor kerajaan sudah masuk sedekad. Sudah berkahwin dalam lima tahun. Alhamdulillah, perjalanan hidup aku sangat-sangat Allah mudahkah. Allah sentiasa berikan aku apa yang terbaik walaupun jarang dapat apa yang diinginkan.

“Sebabnya, aku sentiasa dapat yang lebih baik dari apa yang dimahukan. Keluarga kandung aku juga selalu memberikan sokongan walaupun mereka tak banyak cakap. Mak dan ayah tak pernah masuk campur dalam kehidupan ataupun jalan yang dipilih oleh anak-anak. Tetapi dalam masa yang sama, mereka tetap berikan pendapat.

“Pendapat diberi sebagai orang yang lebih banyak pengalaman terutamanya dalam bidang pekerjaan. Perkahwinan pula menemukan aku dengan keluarga yang sangat melengkapi hidup ini. Mereka berikan apa yang aku tak dapat dalam keluarga sendiri seperti suasana yang sentiasa riuh rendah dengan senda gurauan.

“Keluarga mentua suka bercerita, sentiasa adalah perkara nak dikongsi. Berbanding keluarga aku yang lebih serius dan kurang bercerita mengenai perkara lagho seperti hiburan atau isu bukan ilmiah. Tak pernah rasa sunyi sebab ipar duai aku semuanya jenis yang suka gelak-gelak. Mentua juga tak bezakan anak-anak dan menantu.

“Apatah lagi mengata belakang, memang mentua tak pernah lakukan. Dua-dua buah keluarga juga tinggal di dalam jarak 10 kilometer (km) sahaja daripada aku. Memang rezekikan. Jadi kalau aku perlukan apa-apa, keluarga sentiasa ada. Baik sebelah aku mahupun sebelah suami. Dikurniakan suami yang baik sangat, Alhamdulillah.

“Suami tak pernah melepaskan tanggungjawab sebagai pencari nafkah. Walaupun gajinya sebagai pembantu am tak sampai separuh daripada gaji aku, tak pernah lagi isterinya ini guna duit sendiri untuk keperluan hidup seperti makan pakai atau minyak kereta dan sebagainya. Hanya rumah sahaja yang dibayar guna duit aku.

“Sebabnya rumah itu sudah aku beli ketika awal-awal mula kerja dahulu. Kerja rumah pun, tak perlu minta tolong. Kalaulah aku tak buat, memang suami akan terus tolong buatkan. Mungkin kerana didikan keluarganya yang memang tidak memberi layanan berbeza kepada anak lelaki atau perempuan. Tetapi ada satu sahaja kekurangan.

“Aku belum direzekikan memiliki anak. Tak tahulah kalau boleh guna jawapan ‘belum ada rezeki’. Sebabnya suami aku yang pilih untuk tidak anak. Kenapa? Sebab selama lima tahun perkahwinan kami ini, aku masih dara. Aku sudah cuba memujuk, sekejap sahaja suami setuju. Selepas cakap, dia tidur. Aku tak pernah cerita kepada sesiapa.

“Sebabnya aku tahu, ini aib. Nak cerita dekat mentua pun, aku tak tahu bagaimana nak mulakan. Aku cuma perli sahaja setiap kali suami rapat dengan anak-anak buah dia. Aku cakap, ‘Amboi dengan anak orang punya terhegeh-hegeh, tetapi diri sendiri tak mahukan anak’. Dia pula macam tiada perasaan selepas aku cakap macam itu.

“Setiap kali orang tanya bila aku nak ‘berisi’, tiada rasa marah di dalam diri terhadap individu yang menanya. Sebab bagi aku, itu soalan biasa. Tetapi aku rasa nak marah dengan suami sendiri. Kalau orang lain, bolehlah cakap sudah berusaha. Aku? Kami? Cuba pun tidak. Sayangnya, aku tak pandai nak marah.

“Menangis pun aku tak pandai sebenarnya sebab otak sudah terlebih rasional untuk melogikkan setiap perkara. Respon yang boleh aku beri tanpa berfikir ialah jawapan secara berjenaka sahaja. Itu adalah salah satu sebab orang jadi selesa dengan aku. Aku juga macam lambat nak proses perasaan tersinggung di dalam diri.

“Jadi memang semua orang anggap aku tiada perasaan. Aku jadi macam ini selepas berkahwin. Rasanya berkaitan dengan anak sebab aku sudah cuba membuat senarai untuk perbandingan. Satu sahajalah perkara yang aku kurang berbanding orang lain. Duit aku ada. Duit suami pun aku ada.

“Orang lain jenuh bergaduh suruh suami tolong buat kerja rumah. Suami aku pantang nampak singki ada pinggan tak basuh, memang dia akan cuci terus. Selalunya, aku punya pingganlah. Sebab aku akan tinggal sekejap kalau perlu buat kerja lain. Ketika aku masak, suami setia menjadi tukang ‘rasa’. Beritahu apa yang lebih atau kurang.

“Sebenarnya banyak lagi perkara yang aku tak ceritakan. Jadi selepas membaca perkongsian ini, adakah pembaca merasakan aku adalah orang yang tidak bersyukur atau macam mana?.” Soal Ozel (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum di atas talian.

Baca juga: Terkejut dapat tawaran RM15k untuk teman VIP, Puteri Sarah tak sangka rakan artis rupanya kena ‘hack’