“Suami berubah lepas kami kahwin, dia tergamak guna anak-anak untuk ugut aku”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menyangka, suami yang disayanginya bakal berubah sekelip mata selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Dikenali sebagai seorang lelaki yang baik hati, suami kepada wanita dikenali sebagai Aina itu malah berubah dan tergamak mengugutnya menggunakan anak mereka.

Tidak tahan lagi dengan sikap pentingkan diri suaminya, berikut perkongsian Aina yang tertekan dalam mencari penyelesaian kepada masalah rumah tangganya itu.

“Saya luahkan perasaan di sini kerana tiada tempat mengadu. Mungkin anda semua boleh memberikan pandangan masing-masing. Saya Aina, mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun. Ada dua orang anak di sekolah rendah. Kami suami isteri belajar dan bekerja dalam bidang profesional namun sektor berlainan.

“Arwah ayah dan ibu saya memang mendidik anak-anak untuk belajar dalam bidang profesional. Tidak kira anak lelaki atau perempuan, belajarlah setinggi yang mungkin. Alhamdulillah, kami semua adik-beradik berjaya seperti yang ayah saya impikan. Saya berkahwin sejurus selepas meraih ijazah sarjana muda.

“Sambil bekerja, saya masih lagi menyimpan keinginan untuk sambung belajar. Bakal suami ketika itu sangat menyokong. Beliau sehinggakan sanggup teman saya panjat pelbagai bangunan di Kuala Lumpur untuk memohon biasiswa sebagai bantuan bagi menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana (master).

“Namun tiada rezeki. Saya tidak berjaya dalam mana-mana permohonan. Ketika itu, saya menganggap bakal suami seorang yang bersedia menyokong kerjaya dan minat pasangannya. Terutamanya saya yang suka belajar dan cintakan ilmu. Sama seperti arwah ayah saya yang sangat menyokong ibu bekerjaya.

“Ketika mendapat ibu melahirkan anak sulung, ayah saya segera mencari pembantu rumah. Sebab ayah tak mahu ibu rasa terbeban dengan kerja rumah dan boleh fokus kepada kerjaya. Tetapi selepas saya berkahwin dan mendapat anak pertama, suami terus minta berhenti kerja. Suami mahu saya jadi suri rumah dan jaga anak.

“Dalam masa yang sama, saya juga mendapat biasiswa dan tawaran belajar ke luar negara. Impian dari kecil. Sebelum kahwin lagi saya idamkan menyambung pelajaran ke luar negara. Namun, suami tidak mengizinkan walaupun saya dapat biasiswa. Dia juga tergamak mengugut saya menggunakan anak kami.

“Sekiranya saya ingin juga pergi sambung belajar, bayi kami akan tinggal di Malaysia bersama suami. Hanya saya yang pergi seorang diri. Ketika itu, anak kami masih kecil dan suami pula tak pandai jaga bayi. Mesti dia akan susahkan mak mentua. Saya terpaksa melupakan hasrat tersebut dengan tangisan dan rintihan.

“Lagi pula saya sedar, suami langsung tidak pernah menjaga anak. Hanya saya yang hari-hari bersengkang mata menjaga anak. Bangun di waktu malam setiap dua jam. Suami hanya tahu balik dan pergi kerja. Main dengan anaknya ketika mood budak itu baik. Semua kerja rumah termasuk jaga anak, saya uruskan.

“Alasan suami, dia penat bekerja. Kehidupan berlarutan sehingga 10 tahun lamanya saya menjadi suri rumah. Suami juga bukan layan saya dengan sangat baik. Setiap kali saya minta apa-apa, susah untuk dia tunaikan. Hidup saya sebagai suri rumah tertekan. Tiada kawan, suami pula selalu hilang. Tiada sokongan.

“Suami sentiasa ada masa di luar. Berjumpa kawan dan menghadiri majlis. Saya pula hanya terkurung dalam rumah. Jumpa manusia juga jarang. Hubungan saya dengan arwah ayah ketika itu menjadi tegang. Semuanya kerana saya tidak bekerja. Punah harapan dan impian ayah terhadap saya.

“Sedangkan dahulu, saya merupakan anak kesayangan ayah. Selepas ayah pergi, saya terasa amat sedih kerana tidak sempat mengotakan janji untuk menyambung pelajaran. Akibat tekanan, saya memaksa suami memberi keizinan untuk sambung belajar. Pada suatu malam, saya menangis teresak-esak dalam tekanan.

“Saya nak keluar daripada kepompong. Saya nak juga dihargai, ada pencapaian di dalam hidup. Saya mahu ada kerjaya dan rakan-rakan di sekeliling. Saya sudah tidak tahan lagi. Suami sering tiada di rumah. Jumpa kawan lagi kerap daripada luangkan masa bersama isterinya.

“Dalam setahun, mungkin dua atau tiga kali sahaja suami bawa saya jalan-jalan di pusat beli belah. Selebihnya, dia lebih suka bersendirian ataupun keluar jumpa kawan tanpa membawa saya mahupun anak. Sekurang-kurangnya, anak-anak saya dapat jugalah berjumpa kawan-kawannya di sekolah.

“Tetapi saya hanya keseorangan di rumah setiap hari sehingga 10 tahun. Saya sudah tak sanggup memendam kesedihan dan kesunyian. Saya sudah kehilangan diri yang ceria dahulu. Apatah lagi, perasaan bersalah pada arwah ayah yang baru meninggal waktu itu sangat menebal.

“Mungkin selepas tengok saya mengila dan menangis teresak-esak malam itu, suami beri keizinan sambung belajar. Dengan syarat, saya yang sedang sarat mengandung ini tidak menggunakan duitnya satu sen pun. Betapa kejamnya suami. Sudahlah dia tahu, 10 tahun saya jadi suri rumah. Duit langsung tiada.

“Simpanan yang ada ketika saya belajar dan bekerja dahulu pun sudah habis akibat ditarah hari-hari untuk mencukupkan perbelanjaan harian. Memang dia ada beri duit. Tetapi tak cukup. Harga barang makin mahal. Duit nafkah yang suami berikan, masih sama jumlahnya daripada 10 tahun yang lepas.

“Bila minta dinaikkan, suami kata tiada duit. Sedangkan, gred dan juga gajinya ada kenaikan tahunan. Apabila dapat bonus ke apa, saya tak pernah dapat rasa. Sebab suami tak berkongsi dengan kami anak-beranak. Tanpa belas ihsan, suami memberi syarat yang menyusahkan seperti itu. Bukan nak sokong saya sambung belajar.

“Namun, saya tetap dengan tekad. Saya buat carian di atas talian buru peluang yang ada. Kebetulan, saya jumpa pinjaman pembelajaran boleh ubah. Syaratnya semua Alhamdulillah, saya lepas. Saya terus buat permohonan sambung belajar di universiti bersama pinjaman. Alhamdulillah, berjaya habis belajar dengan izin Allah.

“Semestinya pelbagai dugaan juga ketika belajar. Tetapi, panjang sangat kalau nak diceritakan. Ya, memang satu sen pun saya tidak pakai duit suami. Alhamdulillah. Selepas tamat belajar, saya mula mencari kerja semula. Selepas 10 tahun, ada juga kemajuan dalam CV (vitae kurikulum) saya.

“Selepas beberapa bulan, saya mendapat kerja. Rasa besyukur dan gembira. Tetapi macam biasalah, mana ada tempat kerja yang tiada tekanan. Kerja memang sangat banyak. Sebab itulah majikan cari pekerja, untuk selesaikan semua kerja itu. Saya terpaksa bawa pulang kerja di rumah kalau tidak sempat siap di pejabat. 

“Hari-hari berlalu seperti itu sehinggalah saya mula tidak sempat mengemas rumah, melipat, membasuh dan menjemur kain. Sebabnya, terpaksa menyiapkan kerja-kerja pejabat. Suami mula marah kerana keadaan rumah sudah tidak terjaga seperti dulu. Saya tak faham dengan suami. Kenapa nak marah kalau rumah tak kemas.

“Sepatutnya, dia fikir untuk cari pembantu untuk ringankan kerja saya. Ini, semua dia salahkan saya rumah tak kemas. Dia bagi alasan selalu keluar rumah tak balik sebab rumah bersepah. Tetapi ketika saya jadi suri rumah, dia memang tak lekat pun dekat rumah. Asyik keluar sahaja. 

“Mengapa suami saya tak berfikiran terbuka seperti ayah saya? Menyokong kerjaya isteri dan sanggup carikan pembantu rumah untuk meringankan beban. Tetapi suami saya tidak begitu. Dia nak juga saya kemaskan semua. Suami pentingkan perasaan dia sahaja. Dia tak fikir ke yang saya ini penat?

“Selama ini, saya yang kena buat semua benda. Saya juga penat emosi, tertekan dan 1001 rasa lagi sepanjang perkahwinan ini. Buat para pembaca, bolehkah bagi nasihat dan pendapat anda semua kepada saya. Saya memang tengah tertekan ini. Terima kasih.” Kongsi Aina (Bukan nama sebenar).

Baca juga: “Semua bil aku bayar, hari tu pergi bercuti dengan keluarga dia pun guna duit aku, senang betul jadi suami”