Suami cadang ambil anak angkat luar negara, rupanya hasil benih dengan wanita lain

Oleh KIM SYAZIE

Siapa menyangka anak angkat yang diambil wanita dan suaminya tujuh tahun lepas sebenarnya mempunyai pertalian darah bersama anak kandungnya sendiri.

Segalanya terbongkar selepas wanita tersebut mendapat tahu bahawa anak angkat mereka adalah hasil daripada percintaan suami bersama kekasih gelap.

Menerusi platform Reddit, wanita yang juga ibu kepada lima cahaya mata memaklumkan bahawa doktor tidak membenarkan dia hamil selepas kelahiran anak keempat.

Masih mahukan anak, dia berbincang dengan suaminya, Dave yang berkhidmat di luar negara untuk mengambil anak angkat lapor Daily Star UK.

Tiba-tiba ,Dave mencadangkan agar mereka mengambil anak angkat dari luar negara iaitu dari negara dia sedang bekerja.

Wanita tersebut tanpa memikir panjang terus bersetuju dengan suaminya dan Dave mengendalikan segala proses berkaitan Kalen, bayi kelima mereka.

Walaupun ahli keluarga yang lain tahu bahawa Kalen adalah anak angkat, mereka tidak dapat menafikan ada persamaan antara Kalen dan anak Dave yang lain.

Selepas tujuh tahun, segalanya terbongkar selepas mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan sijil kelahiran Kalen.

Wanita itu akhirnya melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan hasilnya mendapati Dave adalah bapa kandung kepada Kalen.

“Kalen ialah anak saya, tidak kira apa juga keputusan ujian DNA. Namun, saya tidak boleh memaafkan Dave dan saya telah memfailkan perceraian dengannya.

“Sekarang saya sedang berfikir bagaimana untuk memberitahu anak-anak mengenai perpisahan kami,” ujarnya.

Baca juga: Obses dengan teman lelaki Barbie, lelaki sanggup habiskan lebih RM300k untuk pembedahan plastik