“Suami cakap dia saja cari perempuan lain sebab aku tinggikan suara, bila aku berubah…”

Oleh MAISARAH AISYA

Bila diri mula nak curang mulalah nak salahkan pasangan, cari habis apa yang tak kena sedangkan diri sendiri terjebak dalam dosa.

Bukan mahu perbaiki diri malah pasangan pula disuruh ubah diri agar tidak berlaku kes curang dan pergaduhan.

Seorang wanita terkilan dengan sikap suami yang suka merakam wanita dan melihat video tak senonoh kerana alasan dia sering meninggikan suara semasa bergaduh.

‘Kisah di bawah diambil dari Facebook ‘Kisah Rumah Tangga’.

Usia perkawinan saya dengan suami baru empat tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berumur setahun.

Sebelum berkahwin kami dah berkenalan selama lapan tahun. Ada banyak perangai suami yang saya tak suka tapi saya kahwin sebab dah selesa.

Suami saya ni seorang yang bertanggungjawab bab nafkah. Cuma ada beberapa sifat dan perangai dia yang buat saya sakit hati, kecewa, sedih, trauma.

Sebenarnya sejak zaman bercinta saya ada trust issue dengan suami bila bab perempuan.

Masa zaman bercinta dia pernah curang, katanya dia bawa perempuan tu untuk pergi konvoi motor je. Lepas kantoi, dia tinggalkan perempuan tu.

Lagi satu, saya pernah nampak gambar raya dia bergambar rapat dengan sepupu perempuan dia.

Saya cemburu kalau tengok suami saya tak ada batas macam tu. Jadi sejak bercinta lagi kami memang kerap bergaduh bab pergaulan dia dengan perempuan.

Lepas kahwin, setiap kali gaduh,saya mesti akan jumpa hal-hal yang pelik. Tapi ni berlaku dua tahun yang lepas.

Waktu kami bergaduh, saya penah jumpa dia download aplikasi berbual dan hantar chat kat perempuan dalam tu.

Malangnya, aplikasi tu berbayar baru boleh chatting, jadi tak berjaya curang lah.

Pernah juga sampai jumpa dekat gallery telefon suami, dia rekod bilik rumah jiran belakang. Masa suami rekod dia duduk dalam bilik belakang rumah kami.

Bilik rumah jiran tu nampak macam langsir terselak sikit, tak tahu la ada orang ke tak dan kat bilik tu ada jemur seluar dalam kat belakang langsir. Jadi kita yang duduk luar ni memang nampak la.

Kemudian, saya nampak video suami saya rekod isteri kawan dia tengah baring-baring masa dia pergi rumah kawan dia.

Dekat Google, Telegram tak perlu cakap la, dah berapa kali kantoi suami saya tengok video tak senonoh.

Hancurnya hati ni hanya Allah yang tahu. Semua perbuatan suami saya tak pernah cerita dekat sesiapa.

Keluarga saya tak pernah tahu masalah rumah tangga saya. Saya cuma hadap seorang diri.

Setahun yang lepas, saya cuba ubah diri saya. Suami saya pernah cakap dia buat semua tu sebab saya suka marah dia.

Ya kalau kami gaduh memang selalunya saya akan tinggikan suara, akhirnya saya belajar kawal emosi, bersungguh minta doa dekat Allah SWT.

Bila saya dah kurang marah dia maka suami, mula layan saya dengan baik tapi bahagia hanya seketika lepas tu suami kantoi balik.

Sekarang saya dah tak mahu teruskan hubungan sebab risau termarah dia lagi dan kemungkinan dia akan tetap dengan perangai dia.

Ditambah kami sekarang ada anak maka saya risau kalau mereka membesar dalam suasana mak ayah asyik bergaduh.

Baca juga: “Aku dah terlanjur dengan dia macam suami isteri, tapi family dia tak nak terima aku sebab kerja bawa treler”