“Suami curang sebab aku tegas sangat, dia tak tahu aku berubah lepas dibuli keluarganya”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati wanita manakah yang tidak hancur berkecai apabila mengetahui suami tersayang tergamak berlaku curang di dalam keadaannya sedang sarat hamil anak pertama.

Meletakkan semua kesalahan kepada sang isteri apabila tembelangnya pecah, alasan suami terbabit menjalinkan hubungan dengan wanita lain juga tidak dapat diterima.

Turut mengalami tekanan akibat ‘dibuli’ keluarga mentua, berikut adalah perkongsian wanita yang mahu kisahnya dijadikan sebagai pengajaran terutama buat Kaum Hawa.

“Nak menangis tak boleh sebab air mataku sudah kering. Aku rasa sudah tiada hati. Adakah sebab kita ini manusia yang memiliki hati bersifat berbolak balik? Pernah tak rasa nak mengalah tetapi kau masih bertahan sebab Allah itu ada. Dialah yang Maha Mengetahui, Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

“Aku dan suami bermula sebagai kawan, kemudian menjadi sahabat. Lalu kami mula mencintai satu sama lain hinggalah ke jinjang pelamin. Aku akhirnya disahkan hamil selepas bertahun-tahun berusaha untuk mendapatkan zuriat. Patutnya aku gembira kan? Tetapi segala-galanya runtuh di saat aku mengharapkan yang terbaik.

“Aku dapat tahu yang suami curang semasa mengandung trimester kedua. Kejadian ini berlaku pada dua tahun lalu. Maka, 2022 adalah tahun yang paling pahit di dalam hidup aku. Pengalaman hamil bagiku sangat pahit. Tetapi aku tiada mengada-ngada ataupun mengidam itu ini. Ketika itu aku cuma mudah sakit dan penat.

“Doktor melarang aku buat kerja rumah, bersenam, memasak atau memandu sebab kehamilan ini berisiko untuk keguguran. Dengan tanda-tanda hidap Beta-talasemia lagi. Walaupun keadaan aku macam ini, jiwa suami hilang entah ke mana. Jasadnya ada di depan mata, tetapi fikiran dia seakan melayang ke tampat lain.

“Apabila tembelang suami pecah, barulah aku mengerti kenapa sikapnya macam itu. Patutlah aku rasa sunyi. Tiada gurau senda, cakap kosong, berpelukan, ucapan dia rindukan atau cintakan aku seperti selalu. Dalam ramai-ramai lelaki yang mendekati, aku memilih dia. Sebab aku sangka sikap dia berbeza daripada lelaki lain.

“Selain kawan yang sangat baik, aku ingat kami adalah ‘tempat selamat’ untuk satu sama lain. Rupanya tidak, hanya aku seorang sahaja yang anggap begitu. Selepas kantoi, semua kesalahan diletakkan kepada aku. Kononnya aku ini garang, tegas, tak lembut macam dia? Padahal aku asyik dibuli keluarganya terutama ibu mentua.

“Beberapa tahun selepas berkahwin, aku putuskan untuk bertegas dan membela diri sendiri. Suami tak pernah melindungi aku. Dia langsung tak buat apa-apa walaupun aku sudah mengadu. Lalu aku menjadi tegas dan garang sebab tak tahan dibuli oleh keluarga suami. Aku perlu mengutamakan kesihatan mental diri sendiri.

“Aku tak nak menghidap kemurungan hanya disebabkan suami dan keluarga mentua. Aku tak pernah marah atau serang perempuan yang menjalinkan hubungan dengan dia. Sebab perkara ini tak akan terjadi kalau suami bukan ulat bulu. Aku cakap baik-baik dengan wanita itu. Dia beritahu segalanya selepas aku sebut nak tuntut fasakh.

“Mungkin perempuan itu memang berharap agar kami bercerai. Suami aku selalunya akan pergi gimnasium atau belajar selepas solat maghrib. Rupanya pada waktu itu, dia pergi bermadu kasih setiap malam. Perempuan ini mengaku dia sanggup menjadi isteri kedua sampai ajak suami aku kahwin lari di Selatan Thailand.

“Pengakuan ini menimbulkan tanda tanya. Kenapa pula sampai sanggup nak kahwin lari kalau baru kenal tiga bulan. Rupanya mereka sudah berzina, bukan sekali. Tetapi berkali-kali. Patutlah suami tak sentuh aku belakangan ini. Tanpa sedar, air mata aku menitis masa bercakap dengan dia. Sedih, koyak, dan luluh hati aku ini.

“Rasa maruah aku betul-betul tercalar dan dipijak. Marah? Memang marahlah sebab suami tak fikirkan keselamatan aku dan kandungan. Apabila bekerja di dalam bidang kesihatan, patutnya dia bijak sedikitlah. Penyakit kelamin seakan tiada apa-apa bagi dia. Memang waktu itu, aku memang rasa nak berikan ‘flying kick’ kepada dia.

“Namun apakan daya, aku sedang hamil. Selepas tembelangnya pecah, aku telefon suami untuk bertanyakan jika semua cerita perempuan itu benar. Sebaik sahaja dia iyakan, aku terus matikan talian. Aku kemas semua barang-barang dan balik rumah ibu bapa aku. Masa itu, yang paling sedih mestilah papa dan mama aku. 

“Sambil menangis bercerita, mama memeluk aku seerat-eratnya. Papa pula terduduk selepas mendengar segalanya. Sampai sekarang aku ingatlah yang mama cakap dia dan papa akan bantu jaga anak-anak itu sekiranya suami tak menginginkan aku lagi. Katanya anak-anak ini adalah anugerah Ilahi, ada sebab kenapa Allah bagi.

“Mama dan papa mahu menjaga anak-anak aku sampai mereka tak rasalah kurang kasih sayang, pelajaran dan semua perkara. Asuh dan didik mereka sampai berjaya dunia akhirai. Sampai sekarang aku sebaklah kalau ingat. Dua hari selepas kejadiam, suami dan keluarganya datang ke rumah papa mama untuk berbincang.

“Ibu mentua memujuk aku supaya tidak meleraikan ikatan perkahwinan ini. Papa dan mama pula suruh aku fikirkan mana yang terbaik untuk diri dan anak-anak. Lagi pula suami sudah serah diri dan mengaku bersalah pada waktu itu. Dia berjanji tidak akan ulangi perkara ini. Waktu itu memang serabut betul. Fikir nak pergi atau sebaliknya.

“Kalau aku pergi, macam mana dengan anak-anak. Dapatkah aku beri kasih sayang yang sama sebagai ibu dan bapa? Samakah kasih sayang atuk dan nenek sebagai seorang ayah? Bolehkah aku besarkan anak seorang diri? Kalau tak pergi, aku akan mengkhianati prinsip sendiri walaupun suami sudah cakap yang dia nak berubah.

“Sejauh mana aku yakin suami tak akan ulangi perbuatan dia lagi? Akhirnya aku pilih untuk tidak pergi. Susah, tetapi aku cuba. Tak cukup dengan suami, keluarga mentua juga menguji aku. Ibu bapa suami langsung tak tegur atau marah walaupun anaknya yang buat perangai. Ipar-ipar pula dengan mudahnya minta aku maafkan.

“Mereka mahu aku lupakan semua yang telah terjadi. Mungkin senang untuk mereka, sebab mak mentua dan ipar juga pernah menjadi orang ketiga di dalam masjid orang lain. Siap pesan kepada anak-anak lelaki dalam keluarga yang orang pertama perlu disayangi dan didahulukan adalah ibu. Selepas itu, barulah isteri dan anak-anak.

“Jadi anak-anak aku perlu mengalah dengan keluarga mentua? Kenapa nak nafikan nafkah anak-anak dan aku? Kalau mak mentua tak memainkan isu ini dan gunakan kuasa veto dia sebagai ibu, sudah lama aku suruh suami buat macam-macam untuk dia. Aku rela mengalah. Tetapi sebab mak mentua melampaui batas, aku bertegas.

“Berbeza ya perkataan ‘taat’ dan ‘nafkah’. Kenapa nak mengajar anak lelaki menjadi dayus? Nasib baiklah aku ini berkerjaya. Ada pendapatan sendiri dan tidak harapkan duit suami atau harta mentua. Bayangkan, biras aku telah mereka pijak lumat. Sudah macam orang gaji tak berbayar biras aku dikerjakan dengan alasan dia suri rumah.

“Aku tahu sebab pernah duduk sekali dengan keluarga mentua di awal perkahwinan. Setiap kali suami berikan duit, mereka persoalkan kenapa dengan mengatakan hak ibunya ada juga. Banyak perkara toksik yang mereka lakukan sampai aku nekad nak bertegas. Orang yang mahu dilayan seperti raja ini tak layak menerima layanan baik.

“Aku kecilkan pergaulan dengan buang keluarga mentua daripada senarai pengikut akaun media sosial. Selepas itu keluar dari kumpulan sembang keluarganya. Mereka marahkan aku. Tetapi perbuatan mereka sedikit pun tidak menggambarkan sebagai keluarga. Kau sendiri mengatakan menantu adalah orang luar, bukanlah keluarga.

“Sungguh aku cemburu dengan perempuan lain yang mempunyai mentua baik dan penyayang. Jagalah mereka. Sayangi dan santunilah mereka kerana ibu mentua dan ipar yang baik adalah rezeki yang tiada penghujung. Baru aku faham perasaan orang yang terperangkap dalam perkahwinan. Nak buat pilihan perlu fikirkan diri dan anak.

“Mengenai suami aku, dia sudah berubah sangat-sangat. Berubah ke arah kebaikan. Dua tahun lalu papa aku pernah cakap yang lelaki akan menjadi lebih buruk daripada sebelum ini atau lebih baik apabila perkata seperti ini terjadi. Aku nampaklah suami lebih bertanggungjawab dan menjadi ‘penyumbang’ kepada keluarga kami.

“Sebelum ini suami culas dan berkira. Kini dia banyak meluangkan masanya bersama keluarga kecil kami. Menjadi seseorang yang bolehlah dibawa berbincang. Dia sudah pandai bawa diri dalam keluarganya. Bahasa kasarnya, sudah ‘putus susu’ dan lebih matang dan bijak membuat kepusan sendiri. Kami sama-sama muhasabah diri.

“Betulkan mana yang salah. Betulkan solat dan perbaiki diri ini. Suami sendiri cakap, dia nak jadi manusia yang baik. Manusia yang memberi manfaat kepada orang lain dan pada masa sama, menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Sambil bercerita dengan aku, mata dia merah-merah. Dia takut kalau anak tak peduli kepadanya.

“Suami tak mahu jadi orang tua yang diabaikan anak-anak dan isteri apabila sudah sakit atau masuk hospital kelak. Dia tengok macam-macam ketika bekerja di hospital kerajaan. Ramai waris membiarkan bapa mereka terlantar di hospital sebab pernah diabaikan masa kecil. Ketika itu bapa tinggalkan keluarga kerana ada wanita lain.

“Suami memang sudah berubah, aku juga tiada kemurungan. Tetapi perlukan masa untuk ubati hati aku ini. Alhamdullillah. Apa pun akan terjadi kelak, aku hanya mampu berdoa dan tawakkal kepada Allah. Tiada lagi peluang buat suami jika dia ulang lagi perbuatan itu.” Kongsinya dalam sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Aku korban semuanya untuk keluarga tapi tetap digelar derhaka oleh mak, hanya sebab…”