Suami difitnah Fatiya Latiff gagal siapkan rumah, tak sangka ini respon Heliza Helmi

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama berdiam diri, aktivis kemanusiaan iaitu Datin Seri Heliza Helmi akhirnya bersuara bagi memberi respon terhadap tuduhan liar pelakon, Fatiya Latiff.

Heliza yang juga merupakan seorang penyanyi dan pengacara itu mengakui dirinya langsung tidak terkesan berikutan dakwaan pelakon sensasi tersebut adalah palsu.

Mengagumkan, pemilik nama sebenar Nur Heliza Helmi itu memilih untuk memahami keadaan kesihatan mental Fatiya meskipun tidak mengetahui motif tuduhan tersebut.

Jelasnya, pelakon drama Ariana Rose itu mungkin sedang berhadapan dengan ujian yang berat dan memerlukan pertolongan daripada seluruh mukmin, lapor HibGlam.

“Masa mereka buat siaran langsung, saya betul-betul tak tahu apa-apa. Tetapi apabila ada orang ajukan video berkenaan, jujurnya saya faham. Saya tidaklah mengenali Fatiya secara rapat.

‘Tetapi apabila dia keluarkan kenyataan macam itu, saya rasa satu Malaysia sudah faham keadaan dia. Jadi tanpa perlu saya mengeluarkan apa-apa kenyataan sekalipun, orang akan faham.

“Pada saya, mungkin ini adalah masa dia diuji dan apa yang diperlukan adalah doa daripada seluruh mukmin,” kata bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima itu memetik laporan HibGlam.

Tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas fitnah yang dilemparkan, Heliza juga enggan pening kepala memilih untuk memaafkan sahaja Fatiya Latiff.

Walau bagaimanapun, keputusan tersebut boleh sahaja berubah sekiranya pelakon berusia 37 tahun itu terus melakukan tindakan yang boleh melarutkan lagi keadaan.

“Saya tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang sebab apa yang diperkatakan adalah tidak betul sama sekali. Di pihak saya, saya yakin semua orang faham keadaan.

“Saya dan suami memaafkan perbuatannya itu. Rasanya dia tidak perasan situasi ketika itu, mungkin dia khilaf. Tetapi sekiranya perkara ini berlarutan, lain pula ceritanya kelak.” Ulasnya.

Terdahulu, Fatiya atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff kembali mencetus kontroversi selepas menuduh suami Heliza iaitu Datuk Seri Mahadi Zaman sebagai penipu.

Hal ini kerana, syarikat milik Datuk Seri Mahadi kononnya gagal menyiapkan rumah yang dibeli Fatiya sejak lima tahun lalu walaupun sudah membayar ansuran bulanan.

Fatiya mendakwa perlu membayar ansuran mencecah RM2,000 setiap bulan namun kediaman yang dijanjikan siap pada tahun lalu itu masih lagi tidak nampak bayang.

Mahadi kemudian tampil menafikan tuduhan tersebut berikutan syarikat miliknya tidak pernah menjalani perniagaan hartanah malah usahawan itu juga tidak mengenali Fatiya.

Baca juga: Lan Pet Pet cerita detik terendah dalam hidup, terduduk mengenang rumah dilelong sewaktu PKP