Malaysia Dateline

Suami ditemui mati tergantung akibat kemurungan dan masalah kewangan

Seorang isteri yang baru pulang selepas membeli barang keperluan menemui suaminya, 58 tahun mati tergantung dirumahnya di Taman Putra, Ampang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak mengesahkan perkara itu apabila pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2 petang menerusi panggilan MERS 999 daripada orang awam.

Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan sebuah rumah teres dua tingkat yang dihuni lelaki berkenaan yang juga seorang peniaga, isteri dan anak perempuan bongsu yang berumur 26 tahun.

“Menurut keluarga, si mati mengalami kemurungan dipercayai akibat syarikatnya mengalami masalah kewangan yang teruk semenjak PKP dilaksanakan dan terpaksa di tutup pengoperasiannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam siasatan yang dilakukan, pihak polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah di tempat kejadian dan pada tubuh badan mayat lelaki berkenaan.

Menurutnya, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan ujian swab Covid-19 bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Individu yang mempunyai masalah boleh menghubungi sukarelawan terlatih di Befrienders menerusi talian 03-79568145/8144 pada bila-bila masa, atau melalui e-mel.