Malaysia Dateline

‘Suami gaji RM900 sahaja yang tinggal’, FB Mahiaddin jadi medan rakyat luah rasa susah

“Kami di bawah sini amat perlukan duit tunai demi meneruskan kelangsungan hidup pada pada masa ini.”

Itu antara komentar orang ramai yang membanjiri Facebook rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Hantaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di media sosial itu menyebut tentang proses pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk di kawasan diwakilinya, Parlimen Pagoh.

Walau bagaimanapun, ramai dilihat mengadu kepada Mahiaddin agar nasib mereka dibela sepanjang tempoh siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Rayuan rakyat termasuklah terus memohon agar kerajaan melanjutkan pengeluaran Akaun 1 i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung.

Ada juga yang secara terbuka menceritakan keadaan kehidupan mereka yang amat terjejas ekoran lumpuhnya sektor pelancongan tempias pandemik Covid-19.

“Mohon i-Sinar dilanjutkan TSMY. Saya dah enam bulan dicutikan tanpa sebarang bantuan.

“Suami gaji RM 900 sahaja yang tinggal. Anak empat orang, susu, pampers. Mohon pertimbangan sewajarnya.

“Bukan malas tapi sektor pelancongan lumpuh sepenuhnya di Langkawi,” kata Yusliza Yusof.

Tidak kurang juga yang menyelar Mahiaddin yang setiap hari berdoa melalui siaran televisyen tanpa inisiatif yang benar-benar membantu rakyat yang terhimpit dengan kesusahan.

“Ramai hidup dalam kesulitan. Macam mana untuk meneruskan kelangsungan hidup? Tolong luluskan i-Sinar 2.0, i-Lestari dan bantuan-bantuan pada yang tiada KWSP. Tolong fahami kepayahan rakyat bawahan,” tegas Yaacob Othman.

Krisis Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan siri PKP paling memberi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya yang bergantung pada pendapatan harian.

“Rakyat dah sengsara sebab PKP. Bantuan tiada. Pendapatan gaji harian pun tiada,” luah
Aazyf Roshan pula.

Untuk rekod, bukan sahaja mereka yang berpendapatan harian terjejas, kira-kira 1 juta isi rumah yang berpendapatan sederhana (M40), menurut pakar ekonomi, juga tergelincir ke dalam kategori B40 akibat pandemik pada masa ini.

Sehubungan itu, ada yang mengesyorkan Mahiaddin agar menamatkan pelaksanaan PKP 3.0 yang berkuatkuasa hingga 28 Jun ini.

“Tak perlu lockdown sangatlah. Buka saja semua sektor janji percepatkan pemberian vaksin dengan jumlah 300,000 dos per hari,” saran Zainuddin Zulkifli.