“Suami hari-hari cakap pasal berkat tapi nafkah tak bayar, belanja rumah aku tanggung semua”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mula merasa rimas dengan sikap suami yang hanya pandai berbicara namun tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai pasangan mahupun ayah.

Bayangkan sepanjang bertahun-tahun berumah tangga, wanita dikenali sebagai Mia itu terpaksa menanggung semua perbelanjaan rumah dan anak-anak seorang diri.

Sedangkan suaminya itu sering kali berbicara mengenai keberkatan kerana gemar menonton ceramah daripada ustaz namun tidak menyedari kesilapan dirinya sendiri.

Hilang arah di dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah rumah tangganya itu, berikut perkongsian Mia yang khuatir jika kesalahan berpunca dari dirinya sendiri.

“Assalamualaikum. Aku kenalkan diri sebagai Mia. Sudah berkahwin dan memiliki tiga anak. Aku mahu kongsikan sedikit mengenai kehidupan yang dilalui dengan harapan dapatlah diberikan nasihat atau teguran. Awal-awal kahwin, aku dan suami tinggal di rumah sewa yang dimiliki oleh ibu bapaku. Tetapi mereka kata tak perlu bayarlah.

“Mungkin niat mahu membantu anak yang baru belajar bina hidup baru. Namun aku masih juga bayar sewa itu. Aku diam-diam pindahkan duit ke dalam akaun bank milik mereka. Malulah duduk tak bayar. Lainlah kalau aku belum kahwin. Boleh kata, suami hanya cuci kaki sahaja masuk ke rumah. Bukankah dia yang patutnya sediakan rumah?.

“Tetapi ini terbaliklah pula. Suami hanya bayarkan bil utiliti dan kos penyelenggaraan sahaja. Kami duduk situ dalam tiga tahun sebelum berpindah ke rumah yang suami ‘belikan’. Tetapi dia hanya keluarkan 0.01 peratus dari harga rumah tersebut. Lagi 15 peratus, aku yang keluarkan. Padahal duit itu aku simpan sebelum kenal suami.

“Susah-susah aku simpan masa mula-mula kerja dahulu, akhirnya buat modal bayar muka rumah suami. Sudahlah pemilikan rumah itu atas nama dia sahaja, bukannya bersama. Alasannya sebab bayaran bulanan rumah itu, dia yang keluarkan. Tetapi semua barang-barang keperluan di dalam kediaman tersebut pakai duit aku.

“Katanya televisyen, katil, mesin basuh, peti ais dan sebagainya nak kongsi dua nanti bayarannya. Tetapi sudah hampir tujuh tahun tak bayar-bayar. Bab nafkah anak pula daripada kelahiran pertama hinggalah ketiga, suami hanya beli susu sahaja. Itu pun untuk anak kedua dan ketiga sahaja. Nak juga bagi dia rasa sedikit beli barang anak.

“Lampin pakai buang, baju dan keperluan harian anak semuanya aku yang keluarkan duit. Barangan penjagaan diri di rumah juga aku belikan. Barang-barang dapur kalau cecah RM200, mesti suami akan tanya beli apa. Padahal yang mahal-mahal macam makanan sejuk beku seperti sosej ataupun nuget itu semuanya dia punya.

“Aku nak beli sotong atau udang pun kena fikir 10 kali dahulu. Kalaulah nak juga, aku terpaksa beli asing. Beli masa aku keluar seorang diri. Paling sadis masa berpantang, dia langsung tak ambil tahu pasal kebajikan aku. Upah penjaga pantang aku bayar, makanan, barang-barangan bayi dan berpantang juga langsung tak pakai duit dia.

“Kos bersalin juga aku yang tanggung sendiri. Malah bayaran tadika anak pun suami suruh pakai duit kutipan rumah sewa aku. Dia juga susah sangat nak membayar duit yang dipinjam daripada aku. Pernah juga aku minta, akhirnya dilabel berkira. Tetapi kalau aku yang pinjam duit suami, cepat sahaja dia nak tuntut minta aku bayar.

“Nak kata gaji suami kecil, tak juga. Pendapatan dia lima angka, tetapi hujung bulan mesti kering. Keluar makan kalau dia bayar, mesti balik akan bermasam muka atau anginnya tak baik. Tetapi kalau keluar duit aku, laju dia ‘pau’ makanan yang mahal-mahal. Mula-mula aku tak kisah, tetapi lama-kelamaan rasanya tak ikhlaslah pula.

“Rasa macam kena ambik kesempatan sahaja. Suami juga tak begitu arif bab-bab hukum agama. Sampaikan haram untuk bersama ketika isteri haid juga dia tak tahu. Padahal katanya, selalu dengar ustaz-ustaz mengajar. Setiap harilah bercerita fasal berkat, doa dan sebagainya. Tetapi tanggungjawab sendiri tak lunaskan pula.

“Nak berkat celah mana? Tak tahulah suami sedar atau tidak sekarang. Aku juga tak tahu nak luahkan kepada siapa. Takut jatuh pula maruah dia kalau cerita kepada ibu bapa atau adik-beradik aku. Patutkah aku jujur sahaja dan bincangkan perkara ini bersama mak mentua? Sebab aku tak boleh cakap sendiri kepada tuan badan.

“Kalau cakap, dijamin kami mesti akan bergaduh besar nanti. Kamu semua rasa aku ini jenis terlalu berkira sangat ke?.” Kongsi Mia (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Suami aku terlebih arif, duit dihabiskan kepada maknya, aku sebagai isteri tak pernah merasa nafkah”