Malaysia Dateline

Suami isteri kesempitan hidup selepas terputus pendapatan ekoran PKP

Bahagian 1 | Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan untuk membendung pandemik Covid-19 malangnya, turut memberi kesan kepada ekonomi kebanyakan rakyat Malaysia.

Ada yang terjejas pendapatan, ada juga yang terputus terus aliran pendapatan mereka. Pendek kata, kebanyakan rakyat Malaysia kini sedang menempuh cabaran dan dugaan tersendiri ekoran kesan penularan Covid-19.

Sepasang suami isteri di ibu kota ini antaranya, memaklumkan bahawa mereka sudah tidak makan nasi selama enam hari.

“Mereka hanya makan roti dan biskut-biskut yang diberikan oleh orang ramai dan air.

“Air yang mereka minum juga dari air paip dan bukannya air bersih!” kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Lim berkongsi kisah pasangan tersebut yang dikenali Kak Jo dan Abang Chai (bukan nama sebenar) di laman Facebook beliau baru-baru ini dan memaklumkan bahawa pasangan itu telah datang ke pusat khidmatnya untuk memohon bantuan.

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, dapur di rumah pasangan itu turut dijual memandangkan mereka tiada duit untuk membeli makanan.

Keesokan harinya, Lim berkata, beliau membawa Kak Jo dan Abang Chai untuk membeli dapur baru dan perkakas dapur di sebuah kedai di Kepong.

Setelah selesai dengan pembelian barangan, beliau kemudian melawat rumah pasangan tersebut untuk mengetahui persekitaran mereka dengan lebih lanjut.

“Keadaan rumah mereka agak merungsingkan. Tiada makanan di dalam peti dan apa yang tinggal hanyalah makanan kering seperti biskut dan mi segera,” katanya.

Lim menambah, terdapat sebuah mangkuk yang berisi pelitup muka yang direndam.

Rupa-rupanya, kata beliau, mereka terpaksa mencuci semula pelitup muka kerana tiada duit untuk yang baharu.

“Setelah selesai memasang dapur, saya telah berbual dengan mereka. Saya diberitahu yang sebelum ini, mereka pernah mencuba untuk memohon bantuan dari pihak berwajib.

“Akan tetapi, mereka pernah menjadi mangsa penipuan pendaftaran syarikat suatu ketika dahulu dan disebabkan itu, permohonan mereka ditolak.

“Rakan-rakan mereka juga tidak mampu untuk membantu mereka,” katanya yang menambah ada kalanya pasangan tua itu terpaksa mengemis, semata-mata untuk mencari makan.

Sebelum ini, Lim memberitahu, Kak Jo bekerja sebagai pengambil pesanan dan Abang Chai bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah kedai makan.

Menurutnya, pendapatan kecil mereka itu boleh menampung kehidupan mereka berdua tetapi disebabkan PKP, mereka tidak lagi mempunyai kerja.

“Baru-baru ini juga, akibat tekanan hidup yang melampau, Kak Jo telah mencuba untuk mengambil nyawanya sendiri. Mujur Abang Chai sedar akan perbuatan Kak Jo dan sempat membawanya ke hospital,” katanya.