Seorang wanita langsung tidak menyangka, suami yang selama ini bersikap ‘acuh tak acuh’ terhadapnya berubah sekelip mata selepas berat badannya turun mendadak.
Berubah menjadi suami yang mengongkong isteri sebaik sahaja badan wanita itu kurus, lelaki berkenaan juga kerap merajuk setiap kali penggilan telefonnya tidak berjawab.
Mula merasa lemas akibat dikongkong suaminya, berikut adalah perkongsian wanita yang berniat mahu melarikan diri daripada insan paling dicintainya suatu ketika dahulu.
“Assalamualaikum semua. Aku sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun. Bersuamikan lelaki pilihan sendiri. Aku mengurat suami dalam 16 tahun jugalah. Mula dari sekolah rendah, masuk ke sekolah menengah sampai ke universiti dan kerja (ya, aku miang). Tetapi dalam tempoh tersebut, pernah jugalah kami terputus hubungan.
“Selepas 16 tahun aku minat dan cuba dapatkan suami, akhirnya dia setujulah nak berkahwin dengan aku. Bukan aku paksa, tetapi dia yang rela. Aku tak pernah minat lelaki lain kecuali dia. Kiranya cinta pertama. Tetapi aku bukan cinta pertama suami. Dia pernah ada dua ke tiga teman wanita. Kiranya akulah pilihan terakhir yang ada.
“Masalahnya adalah, aku mengurat suami ketika badan tengah ‘chubby’ atau berisi. Dia pula segak. Jadi fahamlah betapa susahnya aku nak yakinkan dia untuk cintakan wanita yang berisi ini. Aku pula kaki cemburu, kurang keyakinan diri pula itu. Sampai sakitlah dada aku sebab menahan cemburu. Tetapi suami nampak santai sahaja.
“Paling-paling suami akan cakap kalau dia tak sayang aku, tiadalah kami berkahwin. Dia cakap macam itu kalau aku mengamuk sebabkan cemburukan rakan sekerjanya yang gedik. Ataupun apabila kawan-kawan perempuan dia tinggalkan komen dekat akaun Facebook miliknya. Suami nampak tenang sahaja ketika aku tengah cemburu.
“Sampai aku balinglah ‘teddy bear’ dekat suami. Aku pernahlah cakap dengan dia, ‘semoga satu hari nanti, abang dapat rasa apa yang saya rasa ini’. Maksud aku, rasa cemburu itulah. Sebab aku geram. Dia tak dapat rasakan keperitan aku ini mungkin sebab rasa ‘selamat’. Iyalah, badan aku kan berisi. Aku jugalah yang mengorat dia.
“Namun doa aku termakbul. Ketika itu, virus COVID-19 tengah melanda. Aku berkerja dari rumah. Selalulah tengok video gadis cina yang suka bersenam itu. Sengaja buat juga, bersenam bagai. Anak-anak pun ikut sama. Aku dengan suami terpisah sekejap masa itu. Sebab suami bekerja di Singapura. Jadinya tak boleh nak rentas negara.
“Mula daripada situ, aku sudah jaga makan. Sebabnya aku turun berat lima kilogram (kg) selepas mula bersenam. Aku gembiralah. Semangat jaga makan, bersenam dan buat aktiviti sihat. Tiada matlamat lansung. Buat sekadar nak isi masa ketika bekerja di rumah sahaja. Apabila suami boleh balik Malaysia, aku sudah turun berat 20kg.
“Ingatkan suami tahulah aku kurus sebab kami sering berhubung melalui panggilan video. Dia tak pernahlah cakap apa-apa masa itu. Aku sendiri juga tak kisah sangat. Suami balik sahaja rumah, dia tengok aku semacam. Panggil masuk bilik dan marah aku. Dia cakap, kenapa kurus macam ini? Masa itu, aku terpinga-pinga sekejap
“Teruslah tanya suami, dia suka aku berisi ke? Tetapi dia diam sahaja. Sejak dari hari itu sampai sekarang, suami aku punya tahap cemburu itu setinggi Menara Merdeka 118. Padahal sudah masuk empat tahun berlalu. Kalau aku pergi ke mana-mana, dia akan buat panggilan video 10 minit sekali. Keluar dengan anak pun tak percaya.
“Siap nak tengok aku pakai baju apa, muka macam mana, tudung labuh tutup dada atau tak. Aku jadi lemas sebab mana nak urus anak, kena layan bapak mereka yang cemburu pula. Kalau aku tak jawab panggilan, dia akan merajuk berhari-hari. Serius macam budak-budak. Aku pulalah yang kena memujuk suami sampai baik semula.
“Ada sekali itu, suami sampai menangis sebab dia sakit hati dengan aku. Puncanya sebab aku balik rumah mak aku. Ketika itu suami di Singapura. Sebab dia bekerja di situ, kami hanya berjumpa dua minggu sekali. Itupun di hari minggu. Waktu balik ke rumah mak itu, telefon aku tiba-tiba rosak. Tak dapatlah nak menghubungi suami.
“Sudah malam sedikit, barulah aku hubungi suami guna telefon mak. Rupanya dia sudah berkali-kali mesej dan telefon aku tetapi tak dapat. Menangislah dia. Aku pun minta maaflah, mengaku salah sebab tak terus telefon dia. Sibuk dengan mak dan anak-anak. Tetapi suami boleh pula cakap yang aku sudah tak sayangkan dia lagi.
“Masuk dua jam jugalah aku perlu memujuk suami. Ya Allah, teringat zaman dahulu ketika dia tak berperangai macam ini. Pada awal tahun, dia cakaplah mahu berhenti bekerja di Singapura. Nak cari rezeki di sini, dekat dengan aku dan anak-anak. Aku tak kisahlah. Lagi suka hari-hari dia di rumah. Rupanya, semakin teruk cemburunya.
“Cemburu satu hal. Selepas duduk Malaysia ini, suami macam manja terlebih dengan aku. Aku tengah sibuk memasak, sibuklah datang nak pegang tangan aku. Kalau aku lepaskan tangan nak kacau kuah, mulalah cakap tak sayangkan dia. Menyirap pula makcik ini. Aku sudah bincang hati ke hati dengan dia. Tanya kenapa jadi macam ini.
“Kalau sebab kurus, aku boleh menaikkan berat badan semula untuk menenangkan suami. Tetapi dia tak mahu. Katanya suka sahaja kalau aku kurus dan cantik. Cuma hati dia yang rasa cemburu dan fikir aku akan cari lelaki lain. Dia cakap, duhulu aku yang mengorat dia. Tetapi sejak jadi cantik, aku sudah tak gedik-gedik dengan dia.
“Aku tak boleh terima. Sebab aku rasa diri ini tak berubah sangat pun. Jadi aku nak minta pendapat, apa yang harus dilakukan. Aku sudah lemas. Bukan tak bersyukur, tetapi macam tak boleh nak bernatas. Rasa nak lari dari suami aku sebab rasa resah apabila tengok dia.” Kongsi wanita terbabit menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Adik-beradik suami ugut nak datang rumah serang aku, rupanya biras yang bawa mulut!”