Suami larang vaksin, ibu pilu dubur bayi melecet selepas cirit-birit akibat Rotavirus

Oleh KIM SYAZIE

Hati ibu manakah yang tidak sedih apabila melihat anaknya terlantar keletihan di katil hospital selepas terkena jangkitan Rotavirus.

Tidak berhenti memuntahkan isi perut, bayi malang itu juga mengalami cirit-birit yang teruk sehingga menyebabkan duburnya melecet.

Menyesal tak sudah, wanita itu mengenangkan tindakan suami dan keluarga mertua yang melarangnya untuk memberi vaksin kepada bayinya.

Bahkan, anak yang berusia lima bulan itu dibawa berubat ke bidan kampung saat mula menunjukkan simptom demam, muntah dan cirit-birit.

Hanya diurut oleh sang nenek, wanita yang baru pulang dari tempat kerja itu terkejut apabila melihat anaknya semakin lemah dan tidak bergerak.

Bertekad untuk membawa anaknya ke hospital, jiwa wanita itu hancur setelah dimaklumkan bahawa anaknya berada di dalam keadaan bahaya.

“Suhu badannya cecah 38.8 darjah celcuis, tak turun-turun. Matanya cengkung, asyik mengantuk sahaja. Selepas minum susu, muntah dan cirit-birit.

“Najisnya lebih banyak keluar air sampai duburnya melecet kerana sering cirit-birit setiap minit,” luah wanita itu di akaun TikTok miliknya.

Tangkap layar video yang dimuat naik ibu tersebut, @dzahinazkayra di TikTok

Hasil pemeriksaan lanjut oleh kakitangan hospital mendapati bayi itu mengalami dehidrasi yang teruk dan terkena jangkitan Rotavirus.

Menjadi punca utama cirit-birit teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil, Rotavirus juga menyebabkan keradangan kepada sistem pencernaan manusia.

Wanita itu bagaimanapun bersyukur kerana mertuanya sudi memberi sokongan dan menemani dirinya saat bayi itu dirawat di hospital.

Setelah lima hari bertarung nyawa, kesihatan bayi itu mulai pulih dan suaminya akhirnya bersetuju untuk memberikan vaksin imunisasi kepada anaknya.

Baca juga: Dulu projek juta-juta, kontraktor ini miskin sekelip mata selepas beristeri dua