Suami menikah kali ketiga, isteri pertama dan kedua berganding bahu jayakan majlis

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu hantaran di media sosial daripada seorang suami yang berkongsikan kegembiraan berikutan majlis perkahwinannya buat kali ketiga berjaya dijalankan dengan lancar.

Namun apa yang mencuri perhatian ramai adalah suami terbabit bukan sahaja berjaya mendapatkan keizinan dari kedua-dua isterinya untuk berkahwin lagi malah wanita berkenaan turut membantu dalam persiapan majlis.

Menurut lelaki terbabit, perjalanan untuk menambahkan bilangan ‘bidadari syurga’ di dalam rumah tangganya itu bukanlah perjalanan yang mudah sebaliknya memakan masa sehingga tiga tahun.

Oleh yang demikian, lelaki berkenaan tampil menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam perjalanan poligaminya itu termasuklah isteri, ibu bapanya dan pertubuhan poligami.

“Tanggal 1 Disember, bertambahlah bilangan bidadari syurga saya. Perjalanan untuk menjayakan perkahwinan ini mengambil masa hampir tiga tahun. Bukan perjalanan yang mudah. Namun Alhamdulillah, ‘Haza Min Fadhli Rabbi’ (semua ini kurniaan dari Tuhan).

“Terima kasih buat ibu bapa saya yang ‘sporting’ dalam menyokong perkahwinan poligami ini, menghadirkan diri dan memeriahkan majlis ijab qabul ini. Terima kasih juga buat isteri-isteri saya, isteri pertama dan kedua. Mereka banyak berusaha untuk menjayakan majlis ini.

“Seorang jadi perancang majlis, seorang lagi pembungkus ‘goodies’. Baju pengantin dan dekorasi juga mereka yang uruskan. Terima kasih buat sedara mara saya dan keluarga pengantin perempuan (isteri ketiga) yang sudi memenuhi jemputan majlis yang bersahaja ini,” katanya.

Tular di media sosial, perkongsian tersebut dimuat naik oleh lelaki terbabit menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya yang setakat ini sudah meraih sekitar 3,300 tanda suka, 4,700 komen dan 4,300 kongsian.

Difahamkan, lelaki terbabit mula berpoligami sejak tahun 2021 dan berjaya mengharunginya dengan lancar selama hampir empat tahun di atas bantuan ‘circle’ atau ahli pertubuhan poligami yang saling berkongsi ilmu.

“Perkahwinan poligami ini, bukanlah perkara baru. Sudah lama termaktub dalam syariat. Namun, ia seakan menjadi masalah dalam masyarakat Malaysia apabila dilaksanakan. Tidak dinafikan sebahagiannya berpunca dari kezaliman yang berlaku.

“Tetapi kita perlu akui, masyarakat masih lagi susah untuk berdamai dengan syariat poligami. Kehidupan monogami dan poligami, kedua-duanya tidak akan terlepas daripada ujian. Ketika menyangka monogami lebih selamat, kita sebenarnya kurang faham tentang hakikat kehidupan.” Ujarnya.

Dalam perkongsian yang sama, lelaki itu turut menyeru para suami mendalami ilmu termasuk agama, perbaiki dan muhasabah diri terlebih dahulu sebelum berpoligami memandangkan ia datang dengan tanggungjawab untuk memimpin keluarga besar.

Baca juga: “Doktor kerajaan ni ada kuota MC ke?” – Netizen persoal susah nak dapat sijil cuti sakit