“Suami menjerit rasa macam lipas merayap, dia tak tahu itu adalah bulu badan aku”

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita tidak pernah menyangka rumah tangga dibinanya bersama suami boleh terjejas berikutan dirinya memiliki tubuh badan berbulu yang sangat lebat.

Bukan sahaja tidak mempunyai sebarang keyakinan diri, wanita berkenaan juga sangat khuatir dengan keadaan anak gadisnya yang turut mewarisi kekurangan tersebut.

Mula hilang arah tuju dalam mencari jalan penyelesaian, berikut perkongsian wanita yang menggelarkan dirinya ‘makhluk berbulu’ menerusi sebuah forum di atas talian.

“Hai, aku seorang isteri yang berusia akhir 20-an. Sudah menikah dan memiliki anak. Kisah aku ini sedikit ganjil. Aku adalah seorang perempuan namun mempunyai badan yang berbulu sangat lebat. Selama hampir 30 tahun hidup, aku sudah jumpa beribu manusia. Tetapi tiada seorang pun daripada mereka ada masalah sama macam aku.

“Eh, ada iaitu adik beradik aku sendiri. Namun keadaan mereka mengkin tak seteruk aku. Genetik ini diturunkan pula kepada anak perempuan aku. Pada suatu hari, anak aku yang berumur tak sampai empat tahun itu nak pergi mandi. Adik ipar nampaklah bulu badan anak aku itu berbulu panjang dan lebat. Adik ipar rasa pelik sangat.

“Katanya, biasa orang perempuan kalau banyak bulu sekali pun hanya paras hujung-hujung betis sahaja. Tetapi anak aku ini dari peha lagi sudah nampak bulunya. Kalau anak yang sekecil itu sudah banyak bulu, apatah aku. Buluku kalah orang lelaki kalau letak sebelah-sebelah tanpa tunjuk muka. Mungkin kaki dia dianggap perempuan.

“Mana tidaknya, bulu kaki aku ini panjang dan berpintal-pintal. Aku menikah dengan lelaki yang kurang berbulu. Di lengan dan peha suami, memang tiada bulu langsung. Aku ini dari bahu sampai ke pergelangan tangan ada bulu-bulu panjang. Jadi perkara ini jadi masalah besar bagi aku. Aku sangatlah malu ada badan yang tak normal ini.

“Jadi daripada awal nikah, aku terpaksa mandi lama sangat-sangat sebab nak cukur setiap bulu badan. Dari tangan turun ke kaki. Setiap kali mandi, setiap hari. Bulu aku pula cepat tumbuh. Contoh kalau aku cukur pagi, petang itu sudah rasa tajam-tajam. Apabila bercukur, akan rasa gatal merenyam pada badan. Tergaru-garulah aku.

“Sudahnya masalah lain pula timbul. Kaki aku nampak buruk, berparut dan berkudis sebab selalu menggaru. Cukur juga tak menjadikan badan aku kelihatan normal, ada bintik-bintik hitam pada bekas lubang bulu. Macam misai lelaki atau keadaan ketiak selepas bercukur. Pendek kata tak jadi licin macam kaki orang yang tiada bulu itu.

“Setiap kali bercukur pula, mesti badan aku akan luka-luka. Semakin buruk kaki aku. Jadi hilang keyakinan di depan suami. Aku rasa suami juga tak gemar dengan badan isterinya ini. Mungkin sebab itulah dia selalu elak untuk bersama. Biasanya sebulan sekali sahaja aku dapat nafkah batin. Aku tak pernah bersuara atau tanya puncanya.

“Sebab rasa terlalu malu dan takut untuk menerima hakikat sekiranya suami tak suka aku disebabkan badan yang berbulu. Macam aku cakap tadi, bulunya sangat kronik. Tak sampai sehari sudah tajam-tajam, jadi mungkin suami rasa macam tengah peluk landak atau pokok kaktus ketika waktu kami bersama. Anak aku juga pernah tegur.

“Katanya, banyak bulu dekat belakang badan ibu. Jadi tak boleh salahkan suami aku juga. Badan sendiri yang memang tak menarik. Pernahlah aku baring dekat sebelah suami, dia tiba-tiba bangun mengejut ketika kami tengah duduk bersantai. Mukanya nampak ketakutan. Mencari-cari. Katanya ada lipas tengah merayap atas badan dia.

“Mula-muka aku cari juga, tetapi memang tiada. Tak lama selepas itu, aku sedarlah. Sebenarnya tangan aku yang tajam-tajam tercucuk suami. Sebab masa itu, hampir dua hari aku tak bercukur. Kebetulan tengah datang haid, aku mandi biasa sahaja. Tak beria sebab suami memang tak akan sentuh. Sakit kalau setiap hari bercukur.

“Letih pun ada juga mandi lama-lama. Aku pernah beli produk mencukur yang mahal itu, tetapi tak mampu nak kekalkan pakai. Sebab satu botol, aku anggar hanya untuk suku betis sahaja. Bulu aku pula tebal dan panjang. Pernah jugalah mencuba kaedah ‘waxing’, tetapi sakit macam nak tersiat kulit aku. Atas bibir memang guna benang.

“Guna benang pun berair-air mata aku setiap kali menahan kesakitan. Tahan sebab kalau bercukur atas bibir, nampak lebam kebiruan macam lelaki pula. Jadi mahu tak mahu, kena hadap juga kesakitan itu. Betullah orang kata ‘beauty is pain’. Aku harap ada yang sarankan produk atau rawatan berkesan untuk masalah ini.” Kongsinya.

Baca juga: Hanya disebabkan cuti sakit, ‘intern’ diberhentikan kerja, jawapan bos pula menyakitkan hati