Suami minum racun rumpai lepas tikam rusuk isteri 2 kali, tak sangka ini puncanya

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, seorang suami tergamak menikam rusuk isterinya sendiri sebanyak dua kali dalam kejadian di sebuah rumah flat di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada Sabtu, kira-kira pukul 8 pagi itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara pasangan suami isteri berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, seorang lelaki kemudian membuat laporan pada 9.30 pagi mengenai kejadian menimpa kakaknya.

Siasatan awal mendapati, kakak pengadu iaitu wanita berusia 30 tahun telah ditikam sebanyak dua kali oleh suaminya sendiri di bahagian rusuk kiri, lapor Sinar Harian.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 8 pagi melibatkan mangsa berumur 30 tahun dan suspek berusia 32 tahun yang merupakan suaminya.

“Suspek telah mengambil tindakan menikam mangsa pada bahagian rusuk kiri dengan menggunakan sebilah pisau sebanyak dua kali. Punca kejadian berlaku selepas kedua-duanya berselisih faham,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Hoo turut memaklumkan bahawa mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan kini masih ditahan dalam wad untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, pihak polis turut menerima laporan mengenai keberadaan suspek di sebuah kebun durian terletak di Jelebu dari kakaknya sendiri pada hari yang sama.

“Pada jam 2.30 petang hari sama, pihak polis menerima makluman daripada kakak suspek yang memberitahu bahawa suspek berada di sebuah kebun durian di Jelebu.

“Suspek bertindak minum racun dan telah dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan serta pemerhatian lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.” Ujarnya.

Jelas Hoo, suspek boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun, denda atau sebat jika disabit kesalahan.

Baca juga: Tak puas hati isteri minta cerai, bapa durjana tergamak rakam aksi dera anak umur 1 tahun