Seorang isteri meluahkan rasa terkilan terhadap suaminya yang sanggup meninggikan suara hanya kerana dia memesan menu yang dianggap mahal oleh suaminya iaitu nasi goreng chicken chop.
Lebih menyedihkan, suaminya itu dikatakan memarahinya di hadapan pelayan kedai yang sedang mengambil pesanan.
Menerusi pengakuan di laman web IIUM Confession, Zura yang juga seorang suri rumah bercerita, bahawa suaminya membawa dia dan anak-anak makan di kedai makan selepas membeli barangan rumah kira-kira dua minggu lalu.
Suaminya mencadangkan mereka untuk memesan ‘set talam’ untuk sekeluarga makan.
Namun mungkin kerana tersalah faham, dia sebaliknya memesan sepinggan nasi goreng chicken chop berharga RM20.
“Laki aku belek buku menu. Ada talam ‘western’. Dia tanya, ‘nak tak?’.
“Aku kata, ‘ok je tak kisah, pilih la set mana’. Tapi lepas tu dia bagi buku menu kat aku. Dia kata, ‘pilihlah sendiri nak makan apa’. Masa ni aku fikir dia tak nak lah talam ‘western’ tu.
“Suruh aku pilih aku nak makan apa. Atau aku yang salah faham? Aku belek bahagian belakang, ada nasi goreng ‘chicken chop’ harga RM20,” katanya.
Memetik laporan Kosmo!, Zura mengakui harga tersebut mahal, namun dia tidak makan seorang dan berkongsi masakan tersebut dengan anak-anaknya.
Malah, suaminya juga yang memberi izin untuknya memesan meni berkenaan.
“Aku tanya dia dulu boleh tak nak pesan ni. Dia kata ‘boleh’. Aku bagi lah buku tu dekat dia untuk dia pula pilih nak makan apa. Dia macam ‘kenapa tak ambil talam tadi kan dah suruh pilih talam tadi’.
“Aku pula ‘lah ingatkan tak nak talam tu sebab kan dah suruh pilih mana-mana tadi’. Masa ni aku malu dengan budak yang ambil ‘order’ tu.
“Laki aku sampai angkat-angkat tangan (bukan pukul). Dia macam angkat tangan dengan dialog ‘apalahhh’. Boleh bayang tak maksud aku macam mana?,” katanya.
Wanita itu berkata, disebabkan berkecil hati dengan suaminya, dia tidak merasa nikmat sewaktu makan nasi goreng ‘chicken chop’ tersebut, malah lelaki itu turut mengungkit hal itu di dalam kereta.
“Bila dah siap makan tu aku ingat kan laki aku dah lupa. Baru nak masuk kereta ni, laki aku terus kata ‘sekali makan je dah RM70 lebih, kalau order talam tadi baru berapa ringgit’.
“Aku ni terus terdiam. Aku ni menyusahkan ke. Bukan selalu dapat makan dekat kedai. Bila dapat makan dekat kedai kena ‘sound’ macam tu. Belanja aku dengan anak tak sampai pun RM30 sebab kami kongsi,” luahnya sedih.
Baca juga: Nak nasi minyak bau harum? Wanita kongsi rahsia, rupanya kena masukkan satu bahan ni…