Suami Nora Ariffin ada bukti didesak untuk bercerai, dakwa difitnah isteri pertama

Oleh MALAYSIADATELINE

Suami kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin iaitu Dr Rushdi Ramli mengakui memiliki bukti wujudnya desakan untuk menceraikan selebriti itu pada Ogos tahun lalu sebelum kembali rujuk tidak lama kemudian.

Dr Rushdi turut tampil mempertahankan kenyataan Nora selaku isteri keduanya yang mendakwa perceraian berlaku berpunca dari desakan isteri pertama, Rose Aliza Sutrisno dan anaknya, Alia Rushdi.

Malah kenyataan dikeluarkan oleh Rose di platform media sosial yang mendakwa perceraian berlaku atas kehendak suaminya juga disifatkan Dr Rushdi sebagai satu bentuk fitnah terhadap dirinya dan Nora, lapor Berita Harian.

Perkara ini menyebabkan Rushdi yang juga merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM) itu tampil membuat satu kenyataan media untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan namanya.

“Pada awalnya, saya tidak ingin membuat sebarang kenyataan lanjut mengenai isu ini. Namun, demi untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama, saya menafikan sepenuhnya kenyataan dibuat oleh Rose.

“Kenyataan berkenaan tidak benar dan mendatangkan fitnah besar kepada saya sebagai suami dan Nora sebagai isteri kedua. Hakikatnya, wujud desakan dan suruhan daripada pihaknya (Rose) sehingga saya menceraikan Nora.

“Namun kemudiannya saya rujuk semula. Saya ingin menyatakan terdapat bukti wujudnya desakan dan suruhan daripada pihak ketiga untuk saya menceraikan Nora,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Rushdi tidak menafikan bahawa dirinya memahami perasaan dialami oleh isteri pertamanya ekoran dimadukan dengan wanita lain tanpa pengetahuan.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak bermakna Rose boleh bertindak sesuka hati dengan memaksa dirinya untuk menceraikan Nora memandangkan Rushdi amat menyayangi kedua-dua isterinya itu.

“Bagaimanapun ingin dinyatakan di sini, saya sangat berharap kemelut isteri-isteri saya dapat diselesaikan secara harmoni demi bulan Ramadan yang mulia ini. Saya amat sayang kedua-dua isteri dan keluarga.

“Sesungguhnya saya amat menghargai segala kebaikan dan pengorbanan isteri pertama sepanjang hidup bersamanya, selain saya juga menghargai kebaikan isteri kedua.

“Saya amat berharap saya dan isteri-isteri dapat melayari bahtera dan meniti kehidupan bersama dengan sakinah, mawaddah warahmah hingga ke jannah-Nya,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Rose memuat naik hantaran di Facebook pada 19 Mac lalu mendakwa keputusan perceraian dibuat atas pertimbangan suaminya sendiri selain menafikan dirinya dan anak mendesak serta menjadi punca perpisahan di antara Rushdi dan Nora seperti didakwa madunya.

Kenyataan itu dibuat selepas Nora memuat naik gambar papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat berserta kenyataan bahawa permohonan cerai dilakukan bukan atas kerelaan tetapi untuk menunaikan hajat isteri pertama dan desakan anak.

Baca juga: Gara-gara watak ‘haruan makan anak’, ramai nak boikot perniagaan Rosyam Nor?