“Suami paksa saya dan anak tidur dengan ‘mahaguru’, alasannya nak masuk syurga tanpa hisab”

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang suami yang juga pengikut ajaran sesat tergamak menggadaikan maruah isteri dan anaknya sendiri demi mendapatkan ganjaran ‘syurga tanpa hisab’.

Lebih memburukkan keadaan, bekas arkitek yang berhenti kerja demi meraih syurga itu turut memaksa isteri dan anaknya mengemis di pasar malam untuk mendapatkan wang.

Itulah penderitaan yang dialami seorang isteri selepas suaminya mengamalkan ajaran sesat sehingga menyebabkan wanita itu nekad untuk menuntut penceraian dari lelaki terbabit.

Bukan cerita rekaan, kejadian itu diceritakan semula oleh Pengamal Undang-undang Syariah iaitu Hazwani Zainal yang berkongsi perbualannya dengan wanita terbabit di platform TikTok.

“Suami saya sudah tak menunaikan solat. Katanya dia boleh solat hanya dengan niat kerana ‘mahaguru’ telah menaikkan tarafnya. Puasa juga tak wajib ke atasnya sebab tahap dia konon sudah hampir wali.

“Bukan setakat itu sahaja. Suami juga pernah suruh saya dan anak perempuan yang berumur lapan tahun tidur dengan mahaguru dia atas alasan untuk penghapusan dosa dan boleh masuk syurga tanpa hisab.

“Tetapi memang saya lawan cakap suami sampai kena kurung dengan anak dalam satu bilik gelap dan kaki tangan kami juga kena rantai. Masa kena kurung itu, kami dipaksa hafal satu doa untuk meminta maaf kepada mahaguru,” ceritanya.

@puanhazwanizainal

FASAKH: SUAMI AMAL AJARAN SESAT Isu ajaran sesat bukanlah isu yang boleh dpandang remeh kerana ini boleh libatkan akidah pihal-pihak. Malah ajaran sebegini boleh merosakkan keturunan. ajaransesat doktrinsesat fasakh perceraian

♬ Musnah – TikTok – Danial Kifli

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan juga dikatakan sanggup memukul isterinya hingga timbul lebam-lebam di badan sekiranya wanita terbabit enggan mengemis di pasar malam.

Difahamkan, suami kepada wanita itu mula terlibat dalam ajaran sesat tersebut lebih daripada tiga tahun yang lalu selepas terpengaruh dengan rakan dikenali ketika zaman belajar dahulu.

“Sejak terlibat dengan kumpulan ajaran sesat itu, dia tak pernah tunaikan nafkah. Dia juga sudah berhenti kerja. Katanya kerja arkitek ini dunia sahaja. Lebih baiklah fokus kepada syurga yang dijanjikan mahaguru dia.

“Suami juga menyuruh saya dan anak mengutip derma di pasar malam. Tapi duit itu semua dia ambil dan berikan kepada mahagurunya. Saya hanya dapat RM20 sahaja untuk makan dengan anak.

“Kalau tak kutip derma, suami akan marah dan pukul saya sampai lebam-lebam. Katanya saya derhaka sebab tak dengar arahan dia dan mahaguru,” kongsinya yang bersyukur ditangkap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut wanita terbabit, penangkapan pihak JKM ke atas dirinya dan anak atas kesalahan mengemis tanpa sengaja telah menyelamatkan mereka daripada kumpulan ajaran sesat berkenaan.

Wanita yang merupakan anak tunggal dalam keluarga itu kemudian diletakkan bersama anaknya di bawah jagaan bapa saudaranya kerana ibu dan ayah kandungnya sudah meninggal dunia.

Dalam perkongsian yang sama, Hazwani memaklumkan bahawa situasi wanita terbabit membenarkan tuntutan fasakh dibuat terhadap suaminya kerana telah melakukan penganiayaan kepada dirinya.

Baca juga: “Masa bercinta kentut pun bau wangi, lepas kahwin baru sedar busuknya suami, sampai aku belikan perfume’