“Suami rela bergaduh minta aku tutup aurat, tapi dia sendiri jarang solat 5 waktu”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita merasa sangat kecewa apabila sang suami yang diharapkan untuk membimbing rupanya gagal memberikan contoh baik buat keluarganya.

Hanya pandai memberi arahan untuk isteri menutup aurat, lelaki itu bagaimanapun langsung tidak menjaga tiang agama apabila jarang menunaikan solat lima waktu.

Mula berputus asa untuk menyelamatkan rumah tangga, wanita itu belum bersedia untuk berpisah kerana suaminya menjalankan tanggungjawab baik kepada keluarga.

Berikut kami kongsikan luahan hati Bunga yang masih berusaha untuk beristiqamah dalam jalan diredai Allah SWT tanpa bimbingan seorang lelaki bergelar suami.

“Assalamualaikum. Nama aku Bunga, umur dalam lingkungan 30-an. Sudah berkahwin selama 10 tahun dan ada empat orang anak. Aku dulu bukanlah orang baik-baik. Tak tutup aurat, kaki kelab malam, ambil barang, tidak solat juga tak berpuasa. Selepas berkahwin dalam lima tahun pertama, kadang-kadang sahaja pakai tudung.

“Solat juga jarang-jarang tetapi puasa memang tak buat. Alhamdulillah, mula tahun 2013 aku berubah. Pakai tudung, jaga solat dan berpuasa selepas macam-macam ujian serta dugaan. Sampai sekarang masih lagi bertahan walaupun aku rasa bosan, putus asa dan penat. Ya, aku penat beristiqamah.

“Aku rasa, hidayah yang Allah kurniakan dahulu kian hilang dan pudar. Aku mula rasa hilang arah. Kerana aku bersendirian bangkit mencari jalan Allah, tetapi suami masih lagi lalai. Suami aku baik dan bertanggungjawab. Kepada keluarga mertua pun baik, begitu juga terhadap anak-anak. 

“Cuma satu sahaja bab dia gagal, iaitu agama. Sudah berulang kali suami diberitahu yang aku mahu dia bantu bimbing kerana merasa sudah tidak mampu beristiqamah. Tetapi dia masih lagi dengan kelalaiannya. Kadang-kadang aku ada rasa macam nak bercerai. Untuk apa perkahwinan ini kalau tiada rahmat dan reda Allah.

“Aku cuma nak suami bersama-sama mencari reda Allah. Aku juga mahu bimbingan daripada suami. Sebaliknya aku pula kena bimbing dia. Beberapa kali juga aku tegur suami dengan cara baik mahupun kasar. Malah sudah bertahun-tahun aku nasihat. Tetapi suami aku macam itulah. Kalau hari ini solat, esok mesti tak lakukan.

“Suami nak berubah, tetapi dia belum mampu nak istiqamah. Sekarang ini, aku pula yang gagal untuk beristiqamah. Suami juga selalu suruh aku tutup aurat. Sampaikan kami bergaduh kadang-kadang. Tetapi bab solat, dia tak pernah nak peduli. Kadang-kadang, aku rasa suami suruh tutup aurat sebab nak jaga air muka sahaja.

“Rasanya definisi tutup aurat bagi suami hanyalah tudung kecil. Tak mengapa kalau pakai baju singkat dan ketat, janji pakai tudung. Entahlah. Padahal selama ini, aku mampu sahaja nak istiqamah bersendirian tanpa suami. Tetapi sejak dua ke tiga tahun ini, aku sudah tidak mampu.

“Aku penat, keliru dan juga rasa kosong. Tiang agama aku juga makin goyang. Tetapi dalam tak mampu beristiqamah, aku masih mampu lagi solat, puasa, tutup aurat dan berjaya pakai stoking serta sarung tangan. Walaupun ‘buka-tutup’. Cuma aku ada rasa kosong di dalam diri. Nikmat beribadah semakin hilang. Aku sangat rindukan nikmat itu. Aku penat nak kena bimbing suami dan juga anak-anak, apatah lagi diri sendiri.

“Kadang-kadang, aku juga ada rasa munafik. Aku solat, puasa, tutup aurat. Tetapi aku juga kalah dengan nafsu. Aku dulu ketagih dengan perkara yang lucah, bertahun lamanya. Tetapi aku berjaya kawal nafsu. Cuma tahun ini aku mengaku kalah dengan nafsu. Bukan sebab aku tak cukup nafkah batin.

“Entahlah, mungkin aku sendiri yang gagal kawal nafsu. Bertahun aku berjaya kawal. Tetapi tahun ini aku kalah. Semakin lama, rasa semakin sesat dalam dosa. Hari-hari setiap kali solat, aku selalu doa minta tolong dengan Allah supaya kembalikan nikmat beribadah pada aku.

“Aku minta Tuhan kuatkan dan teguhkan iman aku. Mohon kurniakan hidayah untuk aku dan juga suami. Entahlah, mungkin ini ujian untuk aku dan ujian rumah tangga kami. Tolong doakan aku. Manalah tahu,  salah seorang daripada kalian, Allah terima doanya untuk aku dan keluarga.

“Adakah Allah tak terima doa aku? Mungkin sebab banyak sangat dosa yang sudah tak tertanggung rasanya,” tulis Bunga (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran tular yang telah dimuat naik di laman luahan atas talian, baru-baru ini.

Baca juga: Lebih rela rugi daripada ‘promote’, Ryan Bakery pulangkan baki bayaran jenama produk yang diboikot