Suami serabut isteri bergaji tinggi ‘spend’ untuk diri sendiri, rasa beban beli barang bayi

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu tangkap layar memaparkan perkongsian seorang suami yang mula merasa tertekan selepas isterinya disahkan mengandung oleh pihak hospital.

Lelaki itu tidak menafikan bahawa kehadiran cahaya mata adalah berita gembira di dalam hidupnya namun khabar tersebut turut menambahkan tekanan yang dihadapinya.

Difahamkan, lelaki berkenaan merasa tertekan memikirkan perbelanjaan sang isteri melibatkan pendapatan diterima wanita itu yang dikatakan lebih tinggi daripadanya.

Menurutnya, wanita itu sering membazir dengan menggunakan wang diperolehnya sendiri untuk membeli barangan keperluan yang mahal seperti set penjagaan muka.

Wanita itu bagaimanapun enggan menghulurkan sebarang bantuan di dalam bentuk wang untuk membantu suaminya membayar komitmen meskipun gajinya lebih tinggi.

“Isteri aku tengah mengandung sekarang. Aku gembira. Tetapi di dalam masa yang sama, aku jadi serabut. Isteri aku ini berkerja dari rumah ataupun ‘work-from-home’ (WFH).

“Pendapatan yang diperolehnya tinggi. Tetapi suka membazir. Gajinya dia gunakan untuk membeli set penjagaan muka yang malah, baju baharu dan juga makan di luar.

“Tetapi isteri tak mahu tolong bayar komitmen bersama. Semua aku kena bayar seorang diri,” kata suami itu dalam satu hantaran tular di media sosial tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Jelas suami berkenaan, perkara yang membuatkannya merasa lebih tertekan adalah tindakan sang isteri memintanya menanggung barangan persiapan keperluan bayi.

Tangkap layar perkongsian itu kemudian dikongsikan semula oleh seorang perunding takaful dikenali sebagai Fatihah Rika menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna menyelar tindakan suami terbabit kerana mengharapkan wang isteri sedangkan itu adalah tanggungjawabnya.

Ramai juga pengguna berkongsi pendapat bahawa perkara seperti itu sepatutnya dibincangkan sebelum berkahwin sekiranya sang suami tidak mampu menanggung komitmen.

Beberapa individu turut tidak melepaskan peluang untuk meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang sedar akan tanggungjawab dan tidak mengharapkan duit isteri.

“Amboi-amboi. Sebelum kahwin sepatutnya fikir dahulu tanggungjawab, bukannya nak harap bayar bersama. Suka dia lah nak beli apa. Duit gaji dia. Parah-parah,” kata seorang pengguna.

“Saya dan suami kerja. Alhamdulillah walaupun gaji saya tinggi sedikit, suami tak pernah minta tolong bayarkan itu ini. Dia cakap duit awak, suka hatilah nak buat apa. Janji tidak membazir.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: “Aku siap mesej mak mentua suruh nasihat suami, rupanya dialah punca suami berhutang puluh ribu…”