“Kalau tahu nafkah dari suami akan terjun ke laut dalam, aku tak nikah dengan duda”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mula menyesali keputusannya memilih duda sebagai suami selepas lelaki terbabit culas dalam menjalankan tanggungjawabnya menunaikan nafkah.

Lebih memburukkan keadaan, suami kepada wanita yang dikenali sebagai Bunga itu juga sering kali mendahulukan anak dari perkahwinan terdahulu berbanding isteri baharunya.

Semakin hilang pertimbangan diri, berikut perkongsian Bunga yang mengalami episod hitam selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki berstatus duda beranak satu.

“Hai semua. Kenalkan, aku Bunga. Berkahwin dengan duda anak satu yang aku gelar sebagai Pokok. Anak perempuan dia iaitu Ranting berusia 10 tahun. Sangat berharap cerita disiarkan untuk dapatkan kata-kata semangat atau nasihat untuk orang keras kepala macam aku ini. Aku dan suami sudah berkahwin selama tiga tahun.

“Hasil perkahwinan itu, kami dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berumur 1 tahun. Aku panggil dia Girl. Sepanjang bergelar suami isteri, sudah dua kalilah kami turun naik mahkamah untuk proses cerai. Tetapi sampai sekarang, kami masih belum bercerai sebab Pokok akan menarik semula kes di hadapan hakim.

“Permohonan cerai pertama, Pokok yang failkan sebab kami bergaduh selepas aku mengancam kekerasan terhadap Girl. Bagiku, hanya itu sahajalah cara untuk meraih perhatian suami. Aku lemparkan Girl yang berusia enam bulan ke atas tilam dengan kasar di hadapan mata suami. Ketika kejadian itulah, dia mula marah.

“Mula-mula kami hanya bergaduh. Aku sudah bising-bising, tetapi Pokok hanya diam membatukan diri. Langsung tak endahkan aku yang sudah mengamuk macam orang gila, menangis sambil lempar-lempar barang. Disebabkan aku geram Pokok buat tak endah, Girl yang menjadi mangsa agar suami sedar isterinya sedang marah!

“Kenapa aku marah? Puncanya mestilah Ranting atau ibunya iaitu bekas isteri Pokok. Macam aku cakap, suami adalah duda anak satu. Ranting masih lagi tinggal dengan ibunya. Tetapi Ranting akan pulang ketika cuti sekolah. Aku tak kisah tentang hal itu sebabnya dia akan balik ke rumah ibu mentua, bukan ke kediaman kami.

“Hal ini kerana aku dan suami bekerja siang dan malam termasuk hari minggu. Kami bekerja secara syif, balik lewat malam. Kadan-kadang pukul 10 malam baru sampai rumah. Siapa yang sampai dahulu akan ambil Girl di rumah pengasuh. Tetapi setiap kali Ranting balik rumah mentua, kami akan tidur sana. Jaraknya cuma 10 minit.

“Lagi pula, rumah ibu mentua ada ramai sepupunya iaitu anak ipar aku yang tinggal di kediaman itu. Jadinya Ranting tak akan bosanlah kerana dapat bermain. Berbalik kepada punca pergaduhan kami, suami akan selalu lebihkan Ranting kalau anaknya itu balik. Apa sahaja kemahuan atau kehendak Ranting akan dituruti.

“Suami langsung tak kisah jika terpaksa beli barang itu sama ada murah atau mahal. Tetapi selalunya mahal. Sebab anak dia tak beli barang mainan ke baju di kedai RM2 dan sebagainya. Katanya mak dia sudah selalu bawa, jadi Ranting nak pergi tempat lain. Bawalah kami ke pusat beli-belah. Di situlah kami beli apa yang dia mahu.

“Bayangkan kalau dalam sebulan itu, tiga ke empat kali balik dan membeli macam-macam. Oleh sebab itulah setiap kali anak dia balik, Pokok akan minta pendahuluan daripada majikannya secara senyap-senyap. Kalau beritahu, memang aku bisinglah. Mereka ke membeli di pusat beli-belah pu  kadang-kadang aku tak ikut sekali.

“Sebabnya Ranting sudah pandai mengadu dekat bapanya, nanti tak dapat membeli macam-macam kalau bawa aku. Jadi suami akan bawa anak dia keluar semasa aku sedang bekerja. Anak-anak buah suami pun ikut sekali. Jika setiap bulan suami ambil pendahuluan gaji tiga ke empat kali, tinggal berapa sahajalah pendapatan dia.

“Kesannya, aku juga yang terpaksa hadap keluar duit kena bayar itu, ini. Lampin dan pengasuh Girl pun aku kena bayar sendiri. Suami cuma dapat bayar sewa rumah dan bil utiliti. Kadang-kadang aku yang kena tambah duit dia. Kalau gaji suami ada lebih pun 30-40 sahaja. Itulah duit kami makan sebulan. Nafkah untuk aku ke laut dalam.

“Aku tertekan sebab kena kena tanggung Girl seorang diri. Suami sibuk menanggung kemewahan anak dia. Ranting pula satu hal, tak boleh marah atau ditegur langsung. Aku ini macam ibu biasa. Jadi kalau buat salah, memang aku marahlah. Bayangkan, sudah berkali-kali Ranting ini kencing malam di atas tilam.

“Setiap kali tidur, aku suruhlah dia gosok gigi, kencing dan cuci kaki dahulu sebelum tidur. Tetapi budak-budak jadi pemalas kalau penat selepas puas bermain. Langsung tak hirau apa aku suruh buat. Mula-mula aku layankan, cuci dan jemur tilam sebab dekat rumah mentua. Lama-kelamaan aku penatlah dengan kena jaga Girl lagi.

“Sekarang aku biarkan sahaja suami uruskan anak dia. Apabila Pokok tahu penatnya cuci kencing, tahu pula dia suruh Ranting pergi tandas dahulu sebelum masuk tidur. Hasilnya sekarang budak itu sudah jarang kencing malam. Disebabkan aku banyak menegur, anaknya macam jadi kurang suka dengan ibu tirinya ini. 

“Satu hari, Ranting balik rumah mak dia beritahu yang aku telah memotong pendek rambutnya. Mak dia terus hantar pesanan Whatsapp kepada suami. Marah-marah sebab aku potong rambut anak dia. Nasib baik suami membela aku. Dia cakap yang aku tak akan buat semua itu. Jadi Pokok hantar Whatsapp kepada Ranting.

“Ranting ada telefon sendiri, suami suruh cerita dekat mak dia betul-betul apa yang jadi sebenarnya. Rupa-rupanya dia dan sepupu main gunting-gunting rambut. Takut kena marah dengan mak, dia sebut aku yang buat. Kejadian ini aku tak tahu pada mulanya. Selepas terbaca dalam telefon suami barulah tahu.

“Pokok pula hanya senyapkan sahaja. Jadi waktu raya hari itu, aku meminta Ranting meminta maaf ketika sesi bersalam. Mana tidaknya, dia sudah belajar menipu. Aku pula sangat pantang dengan budak yang kecil-kecil sudah pandai menipu. Ranting menggeleng kepada tak mahu minta maaf sebelum lari masuk bilik.

“Konon nak nampak yang aku sengaja marah dia agaknya. Aku cakap dekat suami, selagi Ranting tak minta maaf, jangan hairan atau persoalkan sekiranya budak itu diabaikan. Selama ini, kalau keluar aku masih bantu bayarkan barang-barang milik Ranting kalau bapanya sudah habis duit. Pokok cuma cakap biasalah, budak-budak.

“Padahal sebab budaklah jangan biasakan menipu. Akhirnya kami yang bergaduh dan ulang perkara sama. Aku membebel tetapi suami buat tak endah. Lalu Girl yang menjadi mangsa kemarahan aku. Aku biar dia menangis dan langsung tak bagi susu. Sedangkan Girl memang bergantung sepenuhnya kepada susu aku.

“Apabila Girl sudah melalak, barulah suami pujuk aku dan cakap baik-baik. Tertekan aku sampai disahkan menghidap kemurungan melampau (MDD) dan kemurungan sampai kena makan ubat untuk mengawal emosi.” Kongsi Bunga (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Luangkan lebih masa dalam tandas setiap hari, lelaki dibuang kerja mengamuk tak dapat pampasan