Gara-gara termakan hasutan ibunya, seorang suami sanggup melemparkan tuduhan yang sangat keji terhadap isterinya sendiri walaupun tidak memiliki sebarang bukti.
Itulah penderitaan yang dialami oleh wanita dikenali sebagai Bunga apabila dituduh melahirkan anak hasil daripada hubungan dengan adik ipar sendiri oleh suaminya.
Menurut Bunga, segalanya terjadi selepas suaminya itu keluar penjara sebaik selesai menjalani hukuman dipercayai berhubung dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Selepas suami keluar penjara, semua baik-baik sahaja. Alhamdulillah, dia berubah ke arah kebaikan. Solat tak tinggal, jauhi semua kawan-kawan dia dahulu dan kerja macam normal.
“Tetapi masa raya puasa tahun ini, giliran balik rumah mentua. Tengah berkumpul itu, tiba-tiba mak mentua tegur pasal anak. Soalnya kepada suami, ‘Kenapa muka anak ketiga macam muka adik ipar mu, nombor dua ikut muka bini mu’.
“Walaupun dalam gelak-gelak, aku terus tegur ‘kenapa cakap macam itu’ sebab aku kenal perangai suami. Memang keluarga mentua aku semua toksik. Sebab itulah aku jarang balik,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, sang suami yang sudah termakan fitnah itu bertindak mengutarakan persoalan sama ketika berada di hadapan seisi ahli keluarga Bunga.
Tuduhan itu juga telah menimbulkan konflik di dalam rumah tangga mereka sehingga sang suami mengatakan hasrat untuk bercerai meski tidak memiliki sebarang bukti.
“Bulan ke bulan, tiba-tiba suami cakap depan keluarga aku yang muka anak kami itu sama macam adik ipar. Semua macam terkejutlah. Walaupun orang tengok memang macam muka suami aku, tetapi dia tetap dengan pendiriannya.
“Sampai sangguplah fitnah aku ada hubungan dengan adik ipar. Sedangkan dia tahu yang aku hari-hari ada dengan dia. Siap ajak bercerai. Tak mengapa, aku ikutlah dia. Tetapi selepas sampai mahkamah, tak jadi pula nak cerai.
“Aku sudah penat nak hadap. Sekarang adik ipar aku buat laporan polis sebab makin menjadi tuduhannya. Sudah tak tahu nak buat apa. Kadang-kadang, suami aku elok. Tiba-tiba datang meroyan tuduh aku suruh mengaku,” ujarnya.
Perkara itu amat mengecewakan kerana selama suaminya berada di penjara, Bunga sentiasa menjaga maruah dirinya di samping mengambil alih tugas mencari rezeki.
Malah Bunga jugalah yang berulang alik seorang diri ke balai dari awal tahun 2023 untuk menyelesaikan segala urusan memandangkan keluarga mentuanya bersikap lepas tangan ketika itu.
“Aku rasa suami macam halusinasi disebabkan kami jarang bersama. Aku kerja, balik kena uruskan anak dengan rumah lagi. Anak kadang-kadang tidur lambat juga. Jadi ketika tidurkan mereka, dengan aku sekali tertidur.
“Apabila berbincang mengenai hal ini dengan suami, dia cakap tidak mengapa sebab faham aku penat. Tetapi selepas dua, tiga hari jadi balik. Apa pendapat kamu semua dan apa patut aku buat?
“Aku sudah betul-betul buntu. Solat sunat istikharah juga semuanya sudah buat. Hati aku sudah tawar habis untuk baiki hubungan ini.” Kongsi Bunga (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio