Malaysia Dateline

Suara bantahan lompat parti bergema di Dun Johor

Suara bantahan terhadap beberapa Adun di negeri Johor yang melompat parti telah disuarakan oleh Adun Perling, Cheo Yee How dalam sesi perbahasan semalam.

Terdahulu beliau telah mencadangkan agar undang-undang ditubuhkan bagi membuat larangan lompat parti yang berlaku sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan bahawa undang-undang berkenaan perlu ditubuhkan bagi menjamin kestabilan politik, kesejahteraan dan kepentingan rakyat di negeri ini.

“Saya rasa selepas ini tidak perlu lagi kita kempen untuk undi mengalahkan BN pada masa akan datang cukup dengan hanya membiarkan mereka menang selepas itu lompat parti.

“Saya juga melihat rakyat mulai penat dengan tindakan sebegini yang mana ia akan memungkinkan akan berlaku sehingga tergugurnya sebuah kerajaan.

“Yang paling membimbangkan adalah penolakkan dari rakyat terhadap kerajaan PH akan berlaku sekiranya perkara ini dibiarkan,” ucap beliau sewaktu perbahasan.

Dalam pada itu, beliau turut mengaitkan isu yang berlaku di Perak pada tahun 2009 yang menyaksikan sebuah kerajaan yang dibina dari suara rakyat telah dijatuhkan dengan isu lompat parti.

Beliau turut memberi ingatan agar kepercayaan rakyat terhadap PH dalam sistem demokrasi perlu dipertahankan dan jangan dipandang remeh.

“Saya melihat perkara ini serius dan sebelum ia menjadi barah pada masa akan datang kita kena buat sesuatu agar tidak ada pihak yang dikhianati.

“Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan isu ini baik di sebelah pihak mana sekalipun yang melakukan perkara sedemikian,” ucapnya lagi dalam nada yang tegas.

Sebelum ini terdapat insiden di mana tiga Adun dari BN, Endau, Sedili dan Johor Lama yang bertindak keluar parti untuk seberang masuk ke dalam parti PPBM.