Malaysia Dateline

Suara Doraemon cadangan dangkal, lebih baik Rina letak jawatan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun digesa untuk melepaskan jawatannya selepas kementerian itu memuatnaik panduan agar para isteri meniru suara Doraemon bagi memujuk pasangan yang kurang bekerjasama.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, sebaiknya Rina meletakkan jawatannya sekiranya beliau tidak serius dalam membantu golongan sasar di bawah kementerian berkenaan.

Malah menurutnya, panduan kurangkan leteran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu seolah-olah merendahkan martabat wanita.

“Saranan kementerian agar para isteri mengurangkan leteran dan meniru suara watak animasi Doraemon memujuk pasangan yang kurang kerjasama adalah dangkal.

“Keganasan rumahtangga dan penderaan terhadap kanak-kanak (sepatutnya) menjadi objektif utama Kementerian. Tambahan pada waktu PKP yang mana mungkin menyebabkan pertambahan kes keganasan rumah tangga.

“Cadangan Rina itu seolah-olah mempersendakan kaum wanita yang berhadapan dengan suami kurang prihatin. Bahkan menjadi bahan lucu masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan.

Badli yang juga Mantan Setiausaha Akhbar kementerian itu juga mendakwa, Kementerian Wanita kini dilihat hilang fokus dan gagal mengekalkan prestasi cemerlang ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH)

Kata Badli, seharusnya kementerian fokus kepada permasalahan ibu tunggal yang kurang pendapatan, warga JKM yang menjadi barisan hadapan bagi memerangi Covid-19, warga tua dan juga orang kurang upaya yang memerlukan bantuan.

Semalam, dalam siri hantaran di Instagram rasmi KPWKM, kementerian itu menasihatkan golongan wanita agar bertolak-ansur, dan tidak bergaduh atau menyindir pasangan masing-masing, termasuklah ketika meminta mereka membuat kerja-kerja rumah.

Panduan tersebut berkata:

“Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan dari berleter- gunakan perkataan ‘humorous’ seperti ‘cara sidai baju macam nilah sayangku’ (tiru nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja!),” nasihatnya.

Pada masa sama, bekas timbalan kementerian itu, Hannah Yeoh turut mengkritik Rina serta timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff kerana ‘benar-benar terpisah’ daripada realiti yang dihadapi oleh wanita Malaysia

Sebelum ini, beberapa tokoh pejuang hak wanita mengkritik saranan Rina yang tidak menampakkan pembelaan terhadap golongan itu.